Analisis kos-manfaat perjanjian ART sedang dijalankan, kata Johari
2026-01-27 - 05:30
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Ghani berkata Malaysia masih belum menerima notis rasmi daripada AS mengenai garis masa untuk memuktamadkan ratifikasi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri sedang menjalankan analisis kos-manfaat terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat yang dimeterai tahun lalu, kata Menterinya Johari Ghani kepada Dewan Rakyat hari ini. Johari berkata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) membantu kementerian itu dalam melaksanakan analisis berkenaan. “Fokus khusus akan diberikan kepada impak perjanjian ini terhadap eksport negara ke AS yang bernilai RM233.1 bilion, dengan lebihan dagangan sebanyak RM98.7 bilion,” katanya. Johari berkata demikian ketika menjawab soalan Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang bertanya sama ada Putrajaya akan menjalankan analisis kos-manfaat secara terperinci terhadap perjanjian perdagangan itu sebelum meratifikasikannya, serta agensi-agensi yang akan terlibat dalam analisis tersebut. Radzi turut bertanya sama ada kerajaan boleh merunding semula klausa dalam perjanjian berkenaan dan apakah kesan sekiranya perjanjian perdagangan itu dibatalkan. Johari berkata analisis terperinci itu dijangka mengambil masa antara enam hingga 12 bula, dan Malaysia juga masih belum menerima notis rasmi daripada AS mengenai garis masa untuk memuktamadkan ratifikasi perjanjian perdagangan tersebut. “Oleh itu, kerajaan sedang meneliti ART bagi memastikan kepentingan ekonomi negara terpelihara serta mengurangkan risiko terhadap aktiviti perdagangan negara,” katanya. BERITA LANJUT MENYUSUL