TheMalaysiaTime

Ambil peluang Ramadan lupakan perselisihan, bekas ahli Umno diberitahu

2026-03-10 - 06:34

Pengerusi Veteran Umno Othman Desa gesa pemimpin dan bekas ahli tidak lagi membangkitkan isu lama yang boleh menjejaskan usaha penyatuan. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Veteran Umno menggesa bekas ahli yang pernah merajuk, dipecat atau tidak lagi aktif mengambil peluang sempena Ramadan untuk berbaik dan melupakan perselisihan lama dengan kembali menyertai parti. Pengerusi Veteran Umno, Othman Desa, berkata suasana Ramadan dan menjelang Aidilfitri merupakan waktu terbaik untuk semua pihak bermaaf-maafan serta menamatkan pertelingkahan demi mengukuhkan parti. “Jadi, inilah peluang terbaik dalam suasana Ramadan, dalam suasana hari raya. Orang kata, marilah kita bermaaf-maafan, kita lupa segala perkara-perkara cerita-cerita lama, kita balik kepada rumah bangsa ini, kita sama-sama berjuang,” katanya kepada FMT. Sebelum ini, Presiden Zahid Hamidi berkata Umno membuka pintu ‘Rumah Bangsa’ seluas-luasnya kepada ahli yang dipecat atau digantung untuk kembali menyertai parti. Mengulas lanjut, Othman berkata seruan Zahid perlu disambut positif oleh semua pihak, termasuk mereka yang pernah mempunyai perbezaan dengan kepimpinan parti. Katanya, walaupun ada pihak tidak bersetuju dengan parti, konsep yang baik tidak seharusnya ditolak. Sementara itu, beliau turut menggesa pemimpin dan bekas ahli tidak lagi membangkitkan isu lama yang boleh menjejaskan usaha penyatuan. “Jangan bangkit atau ungkit perkara-perkara lama...tidak perlulah bangun dan menyerang kawan sendiri atau menuduh sesiapa mengkhianati parti. Pada masa sama, mereka yang pernah dikenakan tindakan juga tidak perlu mengungkit perkara lama seperti isu pemecatan. “Ini masa yang terbaik untuk kita melangkah ke hadapan. Ada satu kata hikmat yang menyebut, ingatlah kebaikan seseorang walaupun sedikit, dan lupakan kejahatannya walaupun banyak,” katanya.

Share this post: