Ambil langkah bersasar sokong PMKS jika konflik geopolitik memburuk, gesa MEF
2026-03-18 - 09:11
Penyelesaian yang disediakan pada peringkat awal boleh bantu perniagaan gharungi krisis dengan lebih berkesan, cegah penutupan atau gangguan yang boleh dielakkan, kata Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman. (Gambar fail) KUALA LUMPUR: Langkah bersasar seperti bantuan kewangan sementara, memudahkan akses kepada modal kerja dan inisiatif pengurangan kos adalah penting dalam menyokong perniagaan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sekiranya konflik geopolitik yang berterusan semakin meruncing. Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman berkata, pihaknya mengiktiraf pendekatan berhati-hati kerajaan dan turut menggesa langkah persediaan serta fleksibiliti dalam tindak balas dasar sekiranya keadaan di Asia Barat memburuk. “Pada peringkat ini, rangsangan berskala luas mungkin tidak diperlukan serta-merta. Bagaimanapun, kerajaan mesti bersedia untuk bertindak pantas sekiranya keadaan bertambah buruk,” katanya dalam kenyataan hari ini. Dalam hal ini, katanya, ia mengukuhkan lagi keperluan untuk perniagaan mempercepatkan peningkatan produktiviti, mempelbagaikan rantaian bekalan dan menerima pakai teknologi bagi mengurangkan gangguan pada masa hadapan. Beliau berkata, sokongan dasar dalam bidang-bidang keutamaan seperti meningkatkan produktiviti, rantaian bekalan dan teknologi adalah penting untuk memastikan kesinambungan perniagaan yang mampan. “Adalah penting untuk kerajaan mengamalkan pendekatan proaktif dan berpandangan jauh. Kita tidak boleh mengambil pendirian ‘tunggu dan lihat’ dan hanya mula merangka pakej bantuan kewangan selepas kesan sepenuhnya berlaku,” kata Syed Hussain. “Jika hanya menunggu, kelewatan itu boleh membawa kesan buruk, khususnya kepada perniagaan yang beroperasi dengan margin keuntungan yang tipis. Kerajaan perlu mula mengusahakan mekanisme pembiayaan sedia ada dan rangka kerja sokongan luar jangka yang boleh dilaksanakan dengan segera sekiranya keadaan bertambah buruk.” Beliau berkata, penyelesaian yang disediakan pada peringkat awal akan memastikan langkah tindak balas dapat diaktifkan serta-merta pada peringkat pelaksanaan, sekali gus membantu perniagaan mengharungi krisis dengan lebih berkesan dan mencegah penutupan atau gangguan yang boleh dielakkan. “Selain itu, MEF akan terus memantau perkembangan semasa dengan teliti dan berinteraksi dengan pihak berkepentingan untuk memastikan kebimbangan majikan ditangani dengan cara yang tepat pada masanya dan berkesan,” tambahnya.