TheMalaysiaTime

Amanah tampil ‘politik nilai’, elak ekstrem, kata pemimpin

2026-03-09 - 23:44

Azli Yusof berkata dalam wacana politik semasa, ada kecenderungan menggambarkan seolah-olah sokongan kepada parti tertentu menjadi ukuran tahap keislaman seseorang. PETALING JAYA: Amanah mahu memposisikan pendekatan ‘politik nilai’ sebagai tawaran politik Islam yang lebih moden dan inklusif kepada pengundi Melayu, kata Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasionalnya Azli Yusof. Beliau berkata, walaupun Amanah berteraskan Islam, parti itu tidak memilih pendekatan ekstrem dan berhaluan kanan yang bersifat menghukum seperti sering dilihat dalam persaingan politik berasaskan agama. Dakwa Azli, dalam wacana politik semasa, ada kecenderungan menggambarkan seolah-olah sokongan kepada parti tertentu menjadi ukuran tahap keislaman seseorang. “Contohnya kalau bercakap tentang Islam, PAS dilihat seolah-olah mewakili Islam. Kalau tidak bersama mereka, dianggap tidak cukup Islam. “Bukan begitu kerana Islam ini sejagat. Orang Umno yang termasuk dalam puluhan juta orang Islam takkan nak nafikan mereka dan kata bersama Umno tidak boleh masuk syurga?,” katanya dalam temu bual FMT. Sebaliknya, Azli berkata Amanah mahu mendidik masyarakat melalui politik berteraskan nilai seperti integriti, kecekapan dan tanggungjawab. Menurut Ahli Parlimen Shah Alam itu, mereka mahu orang Melayu dihormati kerana kemampuan dan sumbangan kepada masyarakat. “Kita mahu Melayu yang ada integriti. Kalau berniaga, buat dengan baik dan mampu bersaing dengan bangsa lain. Itu yang kita maksudkan dengan politik nilai,” katanya. Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan melahirkan masyarakat Melayu yang berkemampuan, cekap serta mampu bekerjasama dengan kaum lain dalam negara majmuk. “Kita mahu Melayu yang kompeten, boleh bekerjasama dengan bangsa lain dan dihormati oleh kawan serta lawan,” katanya. Amanah ditubuhkan pada 16 Sept 2015 dan antara pengasasnya termasuk Presiden Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Mujahid Yusof Rawa dan Allahyarham Salahuddin Ayub yang keluar daripada PAS. Mereka menubuhkan Amanah selepas kalah pada pemilihan PAS berlangsung Jun tahun sama dan menyertai Pakatan Harapan (PH). Parti itu sering digambarkan sebagai pengganti PAS namun keputusan PRU15 menyaksikannya menang lapan kerusi Parlimen manakala seterunya itu diwakili 43 ahli Dewan Rakyat.

Share this post: