TheMalaysiaTime

Amanah rangka strategi buru 20,000 pengundi baharu di Shah Alam

2026-03-02 - 05:34

Azli Yusof mengetuai perbincangan pada pemukiman Amanah Shah Alam, minggu lalu. (Gambar Amanah Shah Alam) PETALING: Amanah menumpukan kepada lebih 20,000 pengundi baharu pertama kali di Parlimen Shah Alam yang menjadi antara kunci mempertahankan kerusi terbabit pada PRU16. Ketuanya Azli Yusof berkata pengundi dari kelompok itu dilihat bersifat lebih bebas, tidak berpihak dan membuat penilaian berdasarkan isu serta tawaran masa depan. “Kelompok ini menuntut pendekatan berbeza – lebih autentik, berfakta, dan dekat dengan realiti kehidupan mereka,” katanya dalam kenyataan. Sehubungan itu, Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata strategi untuk mendapat sokongan kelompok berkenaan antara yang dibincangkan dalam pemukiman Amanah Shah Alam, minggu lalu. Menurutnya, perbincangan memfokuskan kepada merangka strategi gerak kerja lebih awal dan tersusun bagi mendekati pengundi secara berfasa “Pemukiman itu memberi fokus kepada penelitian menyeluruh terhadap angka dan data pilihan raya lalu, termasuk pola pengundian mengikut saluran, demografi, lokaliti serta trend sokongan berdasarkan pusat daerah mengundi (PDM). “Analisis itu turut mengenal pasti pemboleh ubah semasa yang berpotensi mempengaruhi kecenderungan pengundian, termasuk isu kos sara hidup, persepsi terhadap prestasi kerajaan, sentimen anak muda serta impak komunikasi digital,” katanya. Pada PRU15, Azli menang Parlimen Shah Alam dengan majoriti 18,095 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Share this post: