TheMalaysiaTime

Amanah akan ambil semula DUN Puteri Wangsa daripada Muda

2026-03-05 - 04:33

Naib Pengerusi Amanah Johor Zuhan Zain berkata tiada rundingan politik sedang atau akan diadakan bersama Muda seperti pernah berlaku sebelum PRN lalu. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Amanah akan mengambil semula kerusi DUN Puteri Wangsa yang sebelum ini ‘dipinjamkan’ kepada Muda selepas parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Naib Pengerusi Amanah Johor, Zuhan Zain, berkata tiada rundingan politik sedang atau akan diadakan bersama Muda seperti pernah berlaku sebelum PRN lalu. “Kerusi DUN Puteri Wangsa sebelum ini dipinjamkan kepada Muda atas semangat kerjasama dan kesepakatan gabungan, namun tindakan Muda yang menarik sokongan (daripada kerajaan) jelas bertentangan semangat kestabilan politik negara. “Amanah Johor akan membawa suara dalam perbincangan Pakatan Harapan (PH) bagi mengambil semula kerusi DUN Puteri Wangsa. Keputusan ini adalah tanda protes dan pendirian tegas Amanah terhadap tindakan Muda itu,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian. DUN itu dimenangi Muda menerusi Amira Aisya Abdul Aziz dalam pertandingan enam penjuru pada 2022. Sementara itu, Zuhan berkata, Amanah Johor berpandangan sebarang kerjasama politik mesti berteraskan kesetiaan kepada mandat rakyat serta komitmen terhadap kestabilan kerajaan. Katanya, tindakan menarik sokongan secara unilateral adalah tidak bertanggungjawab dan memberi kesan kepada keyakinan rakyat. “Kerusi DUN Puteri Wangsa pada asalnya diperuntukkan atas dasar kepercayaan dan strategi bersama untuk memperkukuh blok reformasi. “Namun, perkembangan politik semasa menuntut penilaian semula demi memastikan konsistensi dan kejelasan pendirian gabungan,” katanya.

Share this post: