TheMalaysiaTime

Aliran trafik mula sesak, 2.6 juta kenderaan dijangka kembali ke ibu kota

2026-03-23 - 06:50

Aliran trafik masuk ke ibu kota ketika ini membabitkan pergerakan dari arah utara, selatan dan pantai timur, khususnya melalui lebuh raya utama, kata LLM. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Keadaan trafik di beberapa lebuh raya utama mula perlahan apabila orang ramai kembali ke ibu kota selepas pulang bercuti di kampung sempena Aidilfitri. Menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebanyak 2.9 juta kenderaan dijangka akan memasuki ibu kota sehingga lewat malam ini. “Perkembangan trafik hari ini menunjukkan peningkatan berperingkat sejak pagi dan dijangka berterusan hingga ke malam berikutan orang ramai mula pulang ke bandar untuk kembali bekerja. “Aliran trafik masuk ke ibu kota ketika ini membabitkan pergerakan dari arah utara, selatan dan pantai timur, khususnya melalui lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) serta Lebuhraya Pantai Timur (LPT). “Semalam aliran lebih tinggi dari arah pantai timur, hari ini kita lihat peningkatan lebih ketara dari arah utara dan selatan,” katanya menurut Berita Harian. Selain itu, LLM berkata terdapat beberapa kemalangan yang menyebabkan kesesakan di laluan di laluan tertentu. Kemalangan berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan dari Gopeng menghala ke Tapah (arah selatan) di Kilometer 321.0, selain terdapat sebuah lori rosak di laluan Changkat Jering ke Kuala Kangsar di Kilometer 231.7. Bagaimanapun LLM memaklumkan tiada kemalangan dilaporkan setakat ini bagi laluan dari arah selatan menuju ke ibu negara, namun trafik kekal tinggi. “Sebanyak 30 lokasi Smart Lane diaktifkan di lebuh raya utama bagi membantu melancarkan aliran trafik sepanjang tempoh puncak ini,” katanya.

Share this post: