Aliran trafik lancar di semua lebuh raya utama petang ini
2026-03-20 - 11:20
Menurut LLM, aliran trafik di arah utara, selatan dan Pantai Timur dalam keadaan terkawal petang ini. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Aliran trafik di semua lebuh raya utama negara lancar petang ini selepas sebahagian besar warga kota pulang ke kampung halaman masing-masing lebih awal sempena cuti Aidilfitri. Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, tinjauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan aliran trafik di arah utara, selatan dan Pantai Timur dalam keadaan terkawal. “Hanya terdapat sedikit kepadatan kenderaan dikesan di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban menghala ke arah Bandar Ainsdale, namun ia tidak menjejaskan kelancaran trafik secara keseluruhan,” katanya kepada Bernama. Beliau berkata, LLM menjangkakan baki kenderaan yang masih berada di jalan raya adalah terdiri daripada kumpulan pengguna yang memilih memulakan perjalanan pada saat-saat akhir menjelang sambutan 1 Syawal esok. Sehubungan dengan itu, pemandu diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan memandu melebihi had laju bagi mengelakkan risiko kemalangan, serta mematuhi undang-undang jalan raya. Pengguna turut dinasihatkan supaya mendapatkan rehat secukupnya di kawasan rehat yang disediakan dan memastikan baki kad Touch ‘n Go mencukupi bagi melancarkan urusan di plaza tol.