TheMalaysiaTime

Aktivis media sosial diarah bayar ganti rugi RM130,000 kepada 2 peguam

2026-03-19 - 06:41

Mahkamah Tinggi Shah Alam perintah Aliff Ahmad bayar RM80,000 kepada Nur Aminahtul Mardiah Md Nor manakala RM50,000 untuk Asiah Abd Jalil. PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan aktivis media sosial, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin membayar ganti rugi RM130,000 kepada dua peguam selepas didapati bertanggungjawab menerbitkan kenyataan fitnah di platform media sosial. Dalam penghakimannya, Hakim Khadijah Idris memutuskan plaintif pertama, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor berjaya membuktikan unsur fitnah bagi terbitan kedua dibuat defendan yang lebih dikenali sebagai Aliff Ahmad, lapor Berita Harian. Nur A’minahtul Mardiah diberikan ganti rugi global merangkumi ganti rugi am, khas, dan teladan sebanyak RM80,000 selain memerintahkan defendan membayar kos tindakan berjumlah RM10,000. Bagi plaintif kedua, Asiah Abd Jalil, mahkamah mendapati beliau berjaya membuktikan kes fitnah terhadap defendan merujuk kepada terbitan keenam. Mahkamah kemudiannya memerintahkan defendan membayar ganti rugi global sebanyak RM50,000 kepada Asiah, berserta kos guaman sebanyak RM7,000. Dalam writ saman difailkan melalui firma guaman Tetuan Nurul Hafidzah & Associates, kedua-duanya plaintif menuntut ganti rugi am masing-masing berjumlah RM1 juta bagi kenyataan fitnah diterbitkan. Sementara itu, peguam Mahmud Jumaat yang mewakili Aliff Ahmad memberitahu pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dalam masa terdekat.

Share this post: