Aktivis dakwa tak tahu ‘besi berkarat tajam’ lambang keagamaan
2026-03-11 - 04:44
Aktivis Tamim Dahri Abdul Razak berkata objek yang beliau temui jauh berbeza dengan trisula atau soolam. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Aktivis kontroversi, Tamim Dahri Abdul Razak mendakwa beliau secara tidak sengaja merosakkan simbol suci agama Hindu kerana tersalah anggap trisula berkenaan sebagai sebatang besi berkarat. Dalam satu hantaran di Facebook malam tadi, Tamim — yang lantang dalam kempen menentang kuil Hindu yang dibina secara tanpa kebenaran — berkata beliau berada di Langkawi untuk ‘melepaskan tekanan’ selepas kerja dan melawat satu kawasan yang berdekatan dengan sebuah gua. Tamin berkata ketika sedang memberi makan monyet liar di kawasan itu beliau ternampak ada batang besi konkrit yang tajam. “Tidak terfikir langsung ia adalah lambang keagamaan memandangkan ia hanya besi berkarat yang tajam. Ia juga bukan rumah anutan kerana tiada bangunan dan kawasan sekitar adalah lapang,” katanya. Tamim turut memuat naik sekeping gambar trisula, atau soolam, dan satu lagi gambar objek yang ditemuinya. “Tuan-tuan boleh nilaikan sendiri gambar trisula sebenar adalah jauh berbeza dengan besi yang saya tumbangkan.” Dua hari lalu, Adun Sentosa, G Gunaraj membuat laporan polis berhubung sebuah video tular yang menunjukkan kejadian penghinaan terhadap trisula, satu simbol suci dalam agama Hindu. Gunaraj berkata insiden tersebut mesti dikendalikan dengan segera kerana ia boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama.