TheMalaysiaTime

Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 berkuat kuasa 1 Jun

2026-03-15 - 06:45

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata pindaan itu termasuk dalam fokus agenda gerakan kepenggunaan pada 2026. (Gambar Bernama) KOTA KINABALU: Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 bertujuan menterjemahkan prinsip keadilan kredit pengguna dan pemodenan dalam konteks perjanjian sewa beli akan berkuat kuasa mulai 1 Jun depan, iaitu empat bulan selepas diwartakan pada 30 Jan lalu. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, bagaimanapun berkata tempoh peralihan boleh diberikan kepada penyedia sewa beli yang memerlukan masa untuk menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses selaras dengan keperluan baharu. “...manakala penyedia yang telah bersedia boleh mula menawarkan perjanjian sewa beli mengikut pindaan baharu sebaik sahaja tarikh kuat kuasa bermula pada 1 Jun 2026,” katanya pada sidang media sempena Hari Pengguna Kebangsaan 2026 yang disempurnakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Armizan berkata, pindaan itu memansuhkan penggunaan kadar faedah tetap sama rata (flat rate) dan kaedah peraturan 78 (rule of 78). “Di bawah kaedah itu, sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal tempoh pinjaman digunakan untuk membayar faedah manakala hanya sebahagian kecil diperuntukkan kepada bayaran prinsipal. Keadaan ini menyebabkan peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal terpaksa menanggung baki pinjaman yang tinggi dan tidak mencerminkan kos sebenar pinjaman. “Pindaan ini juga menyokong transformasi digital dengan membenarkan penggunaan teknologi dalam perjanjian sewa beli. Ini termasuk kebenaran untuk menggunakan tandatangan serta penyerahan dokumen secara digital dan elektronik bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses perjanjian,” katanya. Armizan berkata, pindaan Akta Sewa Beli itu termasuk dalam fokus agenda gerakan kepenggunaan pada 2026, iaitu reformasi undang-undang yang terkait dengan hak dan kepentingan pengguna yang meliputi aspek pelaksanaan, pindaan dan penggubalan kerangka perundangan berkaitan. “Antara ikhtiar yang telah dilaksanakan bermula tahun lepas ialah memperkukuh kerangka perundangan berhubung ekosistem kredit pengguna. Ini termasuk penggubalan Akta Kredit Pengguna 2025 (Akta 873) yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 21 Julai 2025 dan Dewan Negara pada 4 Sept 2025. “Akta 873 yang di bawah kawal selia Kementerian Kewangan ini berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026,” katanya. Beliau berkata, reformasi undang-undang itu menunjukkan komitmen kerajaan mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus dan berintegriti, meningkatkan tadbir urus industri serta melindungi hak dan kepentingan rakyat sebagai pengguna di seluruh negara.

Share this post: