Aidilfitri: Lebih 2,000 pengurus, penolong Nadi terima insentif RM1,000
2026-03-07 - 05:23
Fahmi Fadzil bergotong royong bersama penduduk PPR Kerinchi menyediakan hidangan bubur lambuk sempena majlis pelancaran Bazar Raya Nadi. KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan insentif khas sebanyak RM1,000 secara sekali bayar sempena sambutan Aidilfitri kepada 2,196 pengurus dan penolong pengurus Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) di seluruh negara. Beliau berkata insentif itu diberikan sebagai penghargaan kerajaan terhadap komitmen petugas pusat terbabit dalam menyampaikan maklumat kerajaan secara berkesan kepada komuniti selain pemerkasaan digital. “Tahun ini sebagai tanda kasih dan penghargaan, kita minta dan telah diluluskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), mereka dapat bonus sebanyak RM1,000. “Ini pertama kali dalam sejarah Nadi dan SKMM,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Bazar Raya Nadi. Inisiatif itu bertujuan membuka peluang kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk masing-masing serta merancakkan ekonomi komuniti menjelang Aidilfitri. “Lebih 10,000 usahawan dijangka menyertai penganjuran Bazar Raya Nadi 2026, yang turut menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan melalui kerjasama dengan pelbagai agensi,” katanya.