AI jadi teras baharu pendidikan negara dalam RPM, kata ahli akademik
2026-02-26 - 01:03
Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 akan mendedahkan kecerdasan buatan (AI) kepada murid dengan lebih dekat. PETALING JAYA: Pengintegrasian kecerdasan buatan (AI) dalam kurikulum dan kaedah pembelajaran disifatkan pembaharuan paling signifikan dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, menurut ahli akademik. Mereka menyifatkan langkah itu menandakan peralihan besar sistem pendidikan negara ke arah kesediaan masa depan. Effendi @ Ewan Matore dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata RPM bukan sekadar kesinambungan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025, sebaliknya membawa anjakan daripada fokus lebih berkesan kepada akses pendidikan negara. “Perbezaan utamanya terletak pada anjakan daripada perubahan akses kepada kualiti, ketahanan dan kesediaan masa hadapan pasca-pandemik Covid-19,” katanya kepada FMT. RPM 2026–2035 diperkenalkan sebagai pelan reformasi pendidikan nasional bagi membina semula sistem pendidikan negara secara lebih adil, tersusun dan berdaya saing. Rancangan itu merangkumi perubahan penting termasuk pengukuran pembelajaran secara berpusat, penetapan mata pelajaran teras kebangsaan serta penyelarasan umur kemasukan murid ke Tahun 1, selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk melahirkan generasi berilmu dan berteraskan nilai. Mengulas lanjut Effendi turut menyifatkan dasar membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun mendaftar masuk ke Tahun 1 secara sukarela sebagai sebahagian daripada pendekatan lebih fleksibel dan berpaksikan perkembangan individu murid. Selain itu katanya, dalam tempoh lima tahun pertama pelaksanaan RPM, murid dijangka mengalami perubahan ketara daripada segi kaedah pembelajaran berasaskan teknologi. “Hal ini realistik kerana memberi ruang kepada guru untuk fokus pada pembangunan karakter dan bakat, kurikulum baharu akan menekankan pembelajaran berasaskan projek dan literasi asas di Tahap 1 serta memberi penekanan eksplisit kepada kesihatan mental dan daya tahan murid termasuk pembentukan karakter. “Namun perkara ini boleh menjadi tidak realistik dan sukar kerana beban kerja guru bertambah, pemikira ibu bapa yang masih di takuk lama dan serta jurang digital itu sendiri antara sekolah yang boleh membantutkan usaha perubahan ini secara tidak langsung,” katanya. Noor Azlan Ahmad Zanzali dari Universiti Muhammadiyah Malaysia berkata RPM 2026–2035 akan membawa anjakan penting ke arah pembangunan murid secara menyeluruh, namun berisiko menjadi sekadar dokumen dasar jika pelaksanaannya tidak disertai perubahan budaya dalam sistem pendidikan. Katanya, ia memperkenalkan naratif lebih jelas tentang pembentukan insan sejahtera yang beradab, berilmu, berkemahiran, berdaya tahan dan berkeyakinan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sistem yang terlalu berorientasikan peperiksaan. “Namun sebarang perubahan bukanlah satu yang mudah. “Perubahan hanya akan memberi impak jika disertai dengan pengurangan beban birokrasi sekolah, autonomi profesional guru, dan keberanian mengubah cara pentaksiran,” katanya.