Ahli perniagaan bertegas serah beg berisi RM1 juta kepada Guan Eng
2026-02-27 - 08:03
Lim Guan Eng dituduh guna kedudukan sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta komisen 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut daripada seorang ahli perniagaan, serta menerima suapan RM3.3 juta. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan dalam perbicaraan projek terowong dasar laut Lim Guan Eng memberitahu menyerahkan satu beg berisi wang tunai RM1 juta kepada ketua menteri Pulau Pinang ketika itu, dalam suatu pertemuan sembilan tahun lalu. G Gnanaraja berkata, dia bertemu Lim buat kali pertama pada 20 Ogos 2017, dalam sebuah kereta dipandu seorang lagi ahli perniagaan, Zarul Ahmad Zulkifli, yang juga merupakan seorang lagi saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan itu. Gnanaraja menegaskan beg berisi RM1 juta tersebut diserahkan kepada Lim atas arahan Zarul. Beliau berkata, selepas beg itu diberikan kepada Lim, Zarul menurunkan pemimpin DAP tersebut di Publika. Peguam Lim, Ramkarpal Singh, menyangkal keterangan Gnanaraja sambil menyatakan tidak masuk akal dan ‘amat mustahil’ bagi Lim membawa satu beg berisi wang tunai di siang hari. “Anda kata beliau memakai pakaian seragam kerajaan negeri semasa melihatnya, dan kemudian (Lim) menuju ke sebuah pusat beli-belah yang sesak,” kata Ramkarpal. Gnanaraja menjawab: “Beberapa perkara memang tidak masuk akal, tetapi betul-betul berlaku.” Ahli perniagaan itu juga, berkata dia tidak tahu ke mana Lim pergi selepas diturunkan di Publika. Dia turut memberitahu mahkamah, bahawa Zarul telah menghantarnya surat tuntutan pada 2018, yang memintanya memulangkan sejumlah wang berjumlah RM19 juta. “Saya tidak setuju dengan isi kandungan surat itu, yang mana (Zarul) kata saya telah menipunya. Peguam saya meminta beliau menunjukkan bukti,” katanya sambil menegaskan RM19 juta tersebut adalah ‘pinjaman mesra’ daripada Zarul kepadanya. Lim dituduh menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta suapan 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut dan menerima rasuah berjumlah RM3.3 juta daripada Zarul. Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyalahgunakan harta secara tidak jujur membabitkan tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta. Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 3 Mac.