TheMalaysiaTime

Ahli Parlimen Labuan gesa selesai segera isu pengimbas bagasi

2026-02-24 - 07:03

Kemasukan mendadak pelancong dari luar memburukkan lagi keadaan apabila satu daripada dua mesin pengimbas di Lapangan Terbang Labuan sudah lama rosak. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman menggesa Malaysia Airports Holdings Berhad (MAB) mempercepatkan kerja penyelenggaraan dua mesin pengimbas di Lapangan Terbang Labuan, yang rosak ketika cuti umum Tahun Baharu Cina. Beliau berkata, kemasukan mendadak pelancong dari luar Labuan memburukkan lagi keadaan apabila satu daripada dua mesin pengimbas di lapangan terbang itu sudah lama rosak. “Saya minta supaya MAB berikan penjelasan berapa lama lagi kerja-kerja penyelenggaraan mesin pengimbas mereka boleh diselesaikan. “Pemeriksaan secara manual ini menyusahkan penumpang yang mahu meninggalkan Labuan ke destinasi seterusnya,” katanya kepada FMT. Terdahulu, portal Daily Express melaporkan rungutan penumpang yang terpaksa beratur panjang untuk mengimbas bagasi mereka pada musim cuti perayaan apabila dua mesin pengimbas di lapangan terbang itu rosak. Mengkritik Jabatan Kastam yang mengutip hasil tinggi dan MAB yang mengenakan caj perkhidmatan penumpang susulan situasi memalukan itu, Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Labuan, Wong Kii berkata: “Kegagalan menyediakan perkhidmatan pemeriksaan bagasi yang cekap memberi gambaran buruk terhadap pulau ini dan tidak selari dengan imejnya sebagai Pusat Kewangan dan Perniagaan Antarabangsa (IBFC),” lapor Daily Express. Susulan kritikan itu, Suhaili kemudian menghubungi Jabatan Kastam yang memaklumkan tiada kerosakan pada mesin pengimbas miliknya. Beliau berkata, maklumat disiarkan adalah tidak tepat dan mengelirukan kerana mesin pengimbas yang rosak bukan bawah bidang kuasa Jabatan Kastam. “Saya sudah menghubungi pengarah kastam Labuan minggu lepas dan dimaklumkan kerosakan ‘scanner’ itu bukan bawah kawal selia kastam, sebaliknya milik MAB. “Pegawai yang bertugas juga bukan pegawai kastam tetapi pegawai keselamatan MAB,” katanya. Menurutnya, pemeriksaan secara manual yang dijalankan ketika ini adalah prosedur keselamatan sementara menunggu kerja penyelenggaraan mesin pengimbas milik MAB diselesaikan. Isu berkenaan mengundang kritikan awam memandangkan Lapangan Terbang Labuan merupakan pintu masuk utama ke pulau bebas cukai itu yang menjadi hab penting bagi sektor minyak dan gas serta pelancongan di Wilayah Persekutuan berkenaan.

Share this post: