TheMalaysiaTime

Ahli Parlimen gesa SPR perbetul segera ketidakseimbangan pengundi

2026-03-09 - 05:33

Suhaizan Kayat berkata SPR perlu menangani pembahagian undi tidak seimbang yang didakwa tidak adil kepada pengundi di kawasan bandar. PETALING JAYA: Seorang wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membetulkan segera ketidakseimbangan pengundi supaya perubahan itu boleh dikuat kuasa sebelum PRU16. Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat, berkata satu prinsip jelas perlu digunakan iaitu kerusi terbesar tidak boleh mempunyai bilangan pengundi lebih daripada dua kali ganda berbanding kerusi paling kecil. Beliau mendakwa, perbezaan antara kawasan Parlimen sangat ketara dengan merujuk kerusi Bangi yang mempunyai 246,795 pada PRU15, selain menamakan kerusi lain mempunyai kawasan padat dengan pengundi seperti Titiwangsa, Shah Alam, Damansara, Petaling Jaya, Wangsa Maju dan Ampang. “Kawasan-kawasan ini lazimnya dimenangi PH dan kadang-kala oleh Umno/Barisan Nasional. “Sebaliknya, ada kerusi yang jauh lebih kecil seperti Sik di Kedah dan Jeli di Kelantan, di mana calon PAS atau Perikatan Nasional (PN) bertanding dalam kawasan mempunyai kurang daripada 50,000 pengundi secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan. Suhaizan berkata, keadaan itu menunjukkan wujudnya pembahagian undi tidak seimbang dan perlu ditangani SPR, sambil menegaskan tidak adil menghukum pengundi bandar dengan menjadikan undi mereka kurang bernilai berbanding di kawasan jauh lebih kecil. Katanya, beliau memahami hujah ada kerusi di Sarawak seperti Batang Sadong mempunyai keluasan melebihi Selangor, namun pandangan itu idak terpakai bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung. Dakwanya, ketidakseimbangan itu sudah lama terbina dalam sistem pilihan raya dalam negara dan ia harus diperbetulkan segera. “Pembetulan ini perlu dilakukan segera supaya perubahan itu boleh berkuat kuasa sebelum pilihan raya umum akan datang,” katanya. Terdahulu, FMT melaporkan gesaan dua Ahli Parlimen supaya ketidakseimbangan kawasan pilihan raya di Semenanjung diberi perhatian serius, ketika kerajaan komited untuk menambah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak. Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof dan Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah senada menjelaskan gesaan itu bagi memantapkan khidmat di kawasan yang ketika ini terlalu besar.

Share this post: