Ahli Parlimen Bangi seru program belia rentas agama susulan penghinaan Quran
2026-02-26 - 08:14
Syahredzan Johan berkata, inisiatif itu seharusnya diusahakan bersama melibatkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Perpaduan Negara. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan menyeru kerajaan merangka program menggalakkan interaksi antara golongan belia daripada pelbagai latar belakang etnik dan agama, susulan penahanan seorang pelajar universiti selepas disyaki menghina Islam di media sosial. Beliau berkata, inisiatif itu perlu digerakkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Belia dan Sukan, dan Kementerian Perpaduan Negara. “Rasa saling hormat-menghormati dan kebersamaan mesti dipupuk sejak awal lagi supaya insiden seperti ini tidak berulang,” katanya dalam kenyataan. Syahredzan turut menggesa suatu perjumpaan diadakan dalam kalangan wakil agama untuk meredakan ketegangan yang tercetus mutakhir ini. Beliau menekankan kepentingan keharmonian dalam masyarakat pelbagai bangsa dan agama perlu dijaga. “Apa-apa perbuatan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama harus dielakkan, dan sebarang hinaan dan provokasi agama, tidak kira agama apa sekalipun, wajar diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.” Semalam, polis menahan seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berusia 21 tahun susulan gambar tular memaparkan dia memijak naskhah al-Quran. Kes tersebut sedang disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membencana atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan, memperuntuk hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali. Kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali. UMPSA menyatakan pihaknya juga sedang menyiasat pelajar berkenaan kerana berkongsi kandungan media sosial menyentuh isu ‘3R’ iaitu agama, kaum, dan institusi diraja. Syahredzan berkata, sebagai seorang Muslim dan juga wakil rakyat mewakili rakyat berbilang bangsa juga mengutuk keras tindakan melampau sedemikian. Bapa pelajar tersebut juga telah membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan anaknya.