TheMalaysiaTime

Ahli lembaga pelawat seru siasat fitnah hospital akan dipindah kerana kuil

2026-03-23 - 09:30

ALP Hospital Bukit Mertajam membuat laporan polis di IPD Seberang Perai Tengah, hari ini. (Gambar ALP Hospital Bukit Mertajam) PETALING JAYA: Ahli Lembaga Pelawat (ALP) Hospital Bukit Mertajam (HBM) menyeru pihak berkuasa menyiasat pengguna Facebook yang menyebarkan fitnah bahawa hospital itu akan dipindahkan kerana kuil. ALP mengulas hantaran di Facebook mendakwa HBM akan dipindahkan agar tidak mengganggu kuil, mengaitkan dakwaaan itu kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong, dan memuatnaik gambar lawatan beliau. ALP berkata Sim tidak pernah menyentuh isu kuil semasa lawatan ke HBM pada 14 Sept, menerangkan fokus lawatan adalah pada penambahbaikan fasiliti iaitu blok tambahan untuk menampung pesakit, yang diusahakan sejak 2023. “Tidak ada isu pemindahan bangunan hospital tetapi yang ada adalah cadangan pembinaan bangunan baru dan bangunan lama masih kekal tanpa sebarang pemindahan,” menurut kenyataan. “Kenyataan fitnah yang disebarkan melalui media sosial ini jelas berunsur hasutan perkauman dan agama, yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta menimbulkan kekeliruan awam.” ALP menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan tegas bawah undang-undang bagi menghentikan penyebaran naratif jahat yang boleh menggugat ketenteraman awam. Katanya, kenyataan yang disebarkan itu adalah “tidak benar, berunsur fitnah dan berniat jahat”. Sebelum ini, HBM menarik perhatian nasional, susulan hantaran seorang penceramah, Zamri Vinoth, berkaitan perhimpunan mengenai sebuah kuil kecil Hindu berdekatan pintu masuk hospital. Sim ketika itu meminta penganjur membatalkan perhimpunan itu, mengatakan ia ‘mengapi-apikan kebencian yang boleh memusnahkan negara’. Pada 6 Mac, NGO yang dilaporkan merancang untuk mengadakan perhimpunan membatalkan rancangan tersebut selepas bertemu jawatankuasa kuil berkenaan dan polis.

Share this post: