Ahli ekonomi cadang perkasa subsidi bersasar jika harga minyak melonjak
2026-03-05 - 02:23
Sebelum ini Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan berusaha mengekalkan RON95 pada harga semasa RM1.99 seliter demi rakyat Malaysia walaupun pasaran global menghadapi ketidaktentuan susulan situasi di Timur Tengah. PETALING JAYA: Ahli ekonomi mencadangkan kerajaan bersedia dengan penstrukturan semula subsidi jangka sederhana jika harga minyak dunia melonjak susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran. Carmelo Ferlito. Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran, Carmelo Ferlito, berkata usaha kerajaan mengekalkan RON95 pada RM1.99 seliter ketika harga minyak global tidak menentu bermakna perbezaan itu perlu diserap dalam kewangan awam. Beliau memberi amaran, tekanan fiskal akibat ketidaktentuan geopolitik dan jumlah subsidi besar boleh mengehadkan kemampuan kerajaan mempertahankan jaringan keselamatan sosial termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) jika pendekatan subsidi kekal bersifat menyeluruh. Bagi mengelakkan situasi itu, Ferlito mencadangkan penstrukturan semula subsidi dalam jangka sederhana sebagai langkah pengurusan risiko fiskal, termasuk mengecilkan subsidi pukal diganti mekanisme lebih tepat. “Antaranya melindungi kumpulan berpendapatan rendah melalui baucar bersasar berbanding suntikan tunai menyeluruh, di samping memperkukuh disiplin fiskal supaya kejutan sementara tidak berubah menjadi defisit struktur kekal. “Jika matlamatnya melindungi taraf hidup, pendekatan paling berkesan ialah bantuan bersasar dan disiplin makroekonomi. “Tanpa pembaharuan struktur, negara berisiko membiayai sokongan nominal semakin besar tetapi pada masa sama mengehadkan ruang program perlindungan sosial sebenar,” katanya kepada FMT. Pada 1 Mac lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan berusaha mengekalkan RON95 pada harga semasa RM1.99 seliter demi rakyat Malaysia walaupun pasaran global menghadapi ketidaktentuan susulan situasi terkini konflik di Timur Tengah. Anwar yang juga menteri kewangan berkata, kenaikan harga minyak mentah global berikutan sekatan ke atas Selat Hormuz dijangka memberi kesan kepada negara, bagaimanapun kerajaan bertekad mempertahankan harga RON95 bagi program Budi Madani RON95 (BUDI95). Ketika ini, minyak mentah WTI naik 2.78% kepada USD67.02 setong, manakala minyak mentah Brent meningkat 2.87% kepada USD72.87 setong. Firma risikan perniagaan dan penyelidikan tenaga, Rystad Energy menjangkakan harga minyak mentah Brent berpotensi melonjak sebanyak USD20 setong, berikutan premium risiko yang diselaraskan semula melainkan ada petunjuk jelas mengenai ketegangan mereda susulan serangan itu. Geoffrey Williams. Sementara itu, ahli ekonomi Geoffrey Williams berbeza berpandangan mengenai tempoh ketidaktentuan tersebut, dengan menjangkakan konflik di Teluk bersifat jangka pendek dan harga minyak mentah Brent akan kembali mendatar di sekitar USD80 hingga USD90 setong. “Buat masa ini kerajaan mampu menampung subsidi tersebut, namun jika konflik ini berpanjangan atau jika harga minyak kekal tinggi untuk tempoh lebih lama, maka keadaan mungkin menjadi sukar,” katanya. Williams mencadangkan pengenalan harga bertingkat (tiered pricing) berdasarkan jumlah penggunaan bulanan bagi memastikan 98% pembeli petrol masih menerima manfaat subsidi tanpa membebankan kerajaan. “Sebagai contoh, subsidi penuh untuk 50 liter pertama, separuh subsidi untuk 25 liter berikutnya dan tiada subsidi jika penggunaan melebihi 100 liter. Ini lebih adil berbanding pemotongan subsidi secara mengejut,” katanya.