TheMalaysiaTime

Agrobank rai keunikan kanak-kanak autisme menerusi video raya ‘Maaf saya…’

2026-03-13 - 03:44

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin menyempurnakan pelancaran video raya korporat ‘Maaf Saya...’ di Kuala Lumpur semalam. KUALA LUMPUR: Agrobank tampil dengan kelainan dengan menyuntik nilai kebersamaan dan kesedaran terhadap kanak-kanak autisme melalui video raya korporat bertajuk ‘Maaf Saya...’ sempena sambutan Aidilfitri pada kali ini. Video itu mengangkat kisah sebuah keluarga yang berdepan cabaran membesarkan anak autisme, sambil mengajak masyarakat memahami bahawa setiap individu mempunyai keunikan tersendiri yang wajar dihargai dan diraikan. Pelakon utama, Que Haidar, membawakan watak ‘Babah’, seorang bapa yang sanggup berkorban demi memastikan anaknya dilindungi dan diterima oleh masyarakat. Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, video raya korporat itu mengajak masyarakat untuk lebih inklusif dengan meraikan keunikan setiap individu. “Golongan neurodiversiti amat dekat di hati kami di Agrobank. “Kami percaya kanak-kanak autisme tidak sepatutnya diasingkan, sebaliknya dibawa bersama dalam masyarakat. Mereka bukan mempunyai kekurangan, tetapi memiliki kelainan dan kelebihan tersendiri,” katanya. Beliau berkata demikian sempena pelancaran video raya korporat disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin. Sempena majlis itu juga, Agrobank turut memperkenalkan kempen Jalinan Nurani dengan menawarkan pembukaan akaun tanpa deposit serta perlindungan takaful percuma kepada 300 kanak-kanak autisme terawal di seluruh negara. Kempen yang bermula semalam itu turut menyediakan pelan perlindungan kemalangan diri Agro Nurani secara percuma dengan perlindungan sehingga RM11,500 kepada kanak-kanak autisme terbabit. Khairunnadia Pauzi dan Nabil Fikri Shaiful Annuar bersama anak autisme mereka hadir pada pelancatan video raya korporat oleh Agrobank bertajuk ‘Maaf Saya.. Mengenai video itu, pengarah dari Kunang Kunang Production, Sharruddin Zain berkata ia turut menampilkan perspektif ibu bapa yang hampir putus harapan kerana tidak dapat melindungi anak-anak autisme mereka sepanjang masa. “Dalam skrip ada disebut Babah tidak boleh sentiasa ada bersama Syairul ketika dia benar-benar memerlukan. “Melalui babak itu, kami mahu menggambarkan perasaan sebenar ibu bapa yang mempunyai anak autisme,” katanya. Sementara itu, Ahli Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), Khairunnadia Mohd Pauzi, 34, berkata video raya berkenaan amat menyentuh jiwanya sebagai ibu kepada anak yang didiagnosis autisme. Menurutnya, dia terpaksa berhenti kerja untuk menjadi penjaga sepenuh masa kepada anaknya itu. “Melihat video ini, pengalaman yang dilalui begitu dekat dengan saya. “Anak saya didiagnosis autisme ringan seawal usia tiga tahun. Walaupun terpaksa berhenti kerja untuk menjaganya namun saya cuba berusaha yang terbaik termasuk menghantarnya ke terapi,” katanya. Orang ramai kini boleh menyaksikan video korporat raya ‘Maaf Saya ...’ itu melalui platform media sosial rasmi Agrobank.

Share this post: