Agrobank perkasa 2,400 penjaja menerusi bazar Ramadan di 16 lokasi seluruh negara
2026-03-27 - 14:40
Agrobank memperkasa usahawan tempatan menerusi penganjuran Bazar Ramadan Agrobank di 16 lokasi di seluruh negara tahun ini. PETALING JAYA: Agrobank terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa usahawan tempatan menerusi penganjuran Bazar Ramadan Agrobank sepanjang Ramadan tahun ini dengan kerjasama 12 pihak berkuasa tempatan (PBT). Inisiatif itu merangkumi 16 lokasi di seluruh negara membabitkan 2,400 penjaja tempatan. Sebagai sokongan kepada peniaga, Agrobank menyediakan akses kepada kemudahan pembiayaan mikro bagi meningkatkan kelangsungan dan daya saing perniagaan sepanjang Ramadan, selain kanopi bazar eksklusif. Program Bazar Ramadan Agrobank yang diperkenalkan sejak 2024 menunjukkan perkembangan memberangsangkan, dengan tahun pertama di empat lokasi bazar membabitkan 506 lot, sebelum diperluaskan kepada 15 lokasi dengan kerjasama MBI Selangor tahun lalu yang merangkumi 1,411 lot. Agrobank memperkenalkan kempen ‘Imbas, Bayar dan Menang’ dari 15 Feb hingga 15 Jun ini yang menggalakkan penggunaan kaedah pembayaran digital. Tahun ini, program itu terus diperkasakan dengan 2,400 lot bazar di pelbagai lokasi strategik seluruh negara yang mencerminkan impak dan penerimaan positif dalam kalangan penjaja. Agrobank turut menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai menerusi DuitNow QR Agrobank bagi meningkatkan pengalaman berbelanja di bazar Ramadan. Sepanjang penganjuran tahun ini, transaksi tanpa tunai berjumlah RM9.2 juta yang menunjukkan tahap penerimaan tinggi dalam kalangan pelanggan dan peniaga terhadap penggunaan pembayaran digital. Sejajar usaha itu, Agrobank dengan kerjasama PayNet memperkenalkan kempen “Imbas, Bayar dan Menang” dari 15 Feb hingga 15 Jun ini, dengan pelbagai hadiah disediakan, termasuk motosikal Honda ADV160, telefon pintar iPhone 17 Pro Max serta wang tunai RM300. Kempen itu turut menggalakkan penggunaan kaedah pembayaran digital seperti DuitNow QR, kad debit Agro-i dan FPX, sekali gus mempercepatkan peralihan ke arah ekosistem pembayaran lebih cekap, selamat serta inklusif. Pelanggan digalakkan terus menggunakan pembayaran tanpa tunai bagi urusan harian, di samping berpeluang menikmati ganjaran ditawarkan sepanjang tempoh kempen.