Agihan kerusi ujian cadangan pakatan IPR-PN hadapi PRU16, kata penganalisis
2026-03-14 - 00:14
Rabu lalu, Muhyiddin Yassin berkata beliau mungkin akan membawa cadangan gabungan longgar IPR berkembang menjadi ‘hubungan lebih bermakna’ dengan pimpinan tertinggi PN. PETALING JAYA: Isu agihan kerusi mungkin antara cabaran awal untuk merealisasikan cadangan pembentukan ‘hubungan lebih bermakna’ dan jajaran politik membabitkan Perikatan Nasional (PN) dengan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), kata penganalisis. Syahruddin Awang Ahmad berkata cadangan oleh Timbalan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin itu mungkin mencerminkan strategi proaktif blok pembangkang dalam menghadapi pilihan raya dan meluaskan pengaruh di kalangan parti sehaluan. Menurutnya, presiden Bersatu itu juga mungkin berharap dapat mengelakkan perpecahan undi melayu-bumiputera dan meningkatkan peluang kemenangan partinya. “Bagaimanapun proses ini memerlukan rundingan yang teliti bagi memastikan pengagihan kerusi serta hala tuju ideologi tidak menimbulkan konflik dalaman. “Jika perbincangan ini lancar, pembentukan satu blok yang lebih besar akan memberikan kelebihan strategik kepada PN,” katanya kepada FMT. Rabu lalu, Muhyiddin menyuarakan harapan supaya gabungan longgar IPR berkembang menjadi ‘hubungan lebih bermakna’ di kalangan parti sehaluan untuk kekal relevan menjelang PRU. Menurutnya, beliau mungkin akan membawa perkara itu kepada kepimpinan tertinggi PN untuk dipertimbangkan tidak lama lagi. Selain Bersatu, PAS, Gerakan dan MIPP yang berada dalam PN, IPR turut dianggotai Pejuang, Urimai, Parti Kemajuan Malaysia (MAP), Putra, Berjasa, Muda, dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman). Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata cadangan berkenaan berpotensi memberi imej lebih inklusif kepada gabungan pembangkang serta wajar dipertimbangkan kepimpinan tertinggi PN. “PN perlu mempamerkannya sebagai parti untuk seluruh rakyat Malaysia tidak kira agama ataupun bangsa dan untuk mencapai cita-cita berada di Putrajaya, ia memerlukan lebih daripada sokongan orang Melayu,” katanya. Menurut Azmi, PN tidak berdepan masalah mendapatkan sokongan pengundi Melayu, khususnya melalui parti komponen seperti PAS. Namun katanya, cabaran utama PN memperluas sokongan di kalangan pengundi bukan Melayu jika gabungan itu mahu berpeluang membentuk kerajaan persekutuan.