TheMalaysiaTime

Agenda reformasi masih relevan, kunci tangani masalah infrastruktur Sabah, kata menteri

2026-03-11 - 01:24

Mustapha Sakmud berkata Putrajaya telah menyalurkan peruntukan besar untuk pembangunan di Sabah. PETALING JAYA: Agenda reformasi kekal relevan di Sabah yang boleh menjadi kunci dalam menyelesaikan masalah asas dihadapi rakyat, khususnya berkaitan infrastruktur, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud. Beliau berkata, pelbagai tinjauan menunjukkan kebimbangan utama rakyat Sabah masih tertumpu kepada isu membabitkan kelangsungan hidup termasuk kemudahan asas seperti jalan raya dan infrastruktur. Namun, menurut Mustapha persoalan lebih besar ialah mengapa masalah berkenaan masih berlarutan walaupun kerajaan pusat menyalurkan peruntukan besar untuk pembangunan. “Dari sudut pelaksanaan banyak ketirisan dan pelbagai lagi masalah...ini yang perlu ‘direform’,” katanya dalam temu bual FMT. Mustapha Sakmud. Menurutnya, kebanyakan rakyat hanya melihat kesan berlaku di peringkat akar umbi seperti jalan berlubang, tanpa mengetahui punca sebenar di sebalik masalah itu. “Rakyat hanya nampak jalan berlubang. Tetapi kenapa jalan itu berlubang? Itu yang perlu kita selidiki dan perbaiki supaya peruntukan yang disalurkan kerajaan pusat dan negeri benar-benar sampai dan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya. Justeru, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata agenda reformasi boleh menjad kunci perubahan dalam cara kerajaan merancang dan melaksanakan projek pembangunan. “Jika kita tidak melakukan reform dalam cara berfikir, cara melaksanakan projek dan cara merancang pembangunan, masalah sama terus berlaku. “Itu yang akhirnya menyebabkan rakyat berasa kecewa,” katanya. Masalah ‘tiga serangkai’ membabitkan jalan raya, elektrik dan bekalan air antara isu kerap dimainkan dalam kempen politik termasuk pada PRN Sabah tahun lalu. Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 mengumumkan peruntukan RM6.9 bilion untuk Sabah sebagai komitmen nyata bagi merapatkan jurang pembangunan khususnya prasarana asas, sejajar semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Anwar turut memaklumkan kerajaan menyediakan RM1.2 bilion bagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik di Sabah.

Share this post: