Adun Bukit Tambun ganti Fahmi sebagai exco P Pinang
2026-03-04 - 08:33
Adun Bukit Tambun dari PKR, Goh Choon Aik akan mengangkat sumpah jawatan pada pagi Jumaat bagi menggantikan Adun Pantai Jerejak Fahmi Zainol sebagai exco kerajaan negeri. GEORGE TOWN: Adun Bukit Tambun dari PKR, Goh Choon Aik, dilantik sebagai exco Pulau Pinang bagi menggantikan Fahmi Zainol, yang digugurkan daripada pentadbiran negeri susulan pertuduhan di mahkamah. Bagaimanapun, portfolio yang bakal dipegang Goh belum diumumkan. Fahmi sebelum ini memegang jawatan exco agroteknologi, keterjaminan makanan dan pembangunan koperasi sebelum digugurkan hari ini. Menurut kenyataan pejabat ketua menteri, Yang di-Pertua Negeri Ramli Ngah Talib, telah memperkenan pelantikan Goh. Goh akan menerima surat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan pada pagi Jumaat. Terdahulu hari ini, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Fahmi digugurkan daripada barisan exco kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta susulan permintaan kepimpinan PKR. Minggu lalu, Fahmi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya. Susulan itu, beliau digantung daripada semua jawatan dalam PKR. Adun penggal pertama itu turut mengemukakan rayuan terhadap penggantungan berkenaan dengan alasan bahawa satu-satunya jawatan yang disandangnya dalam PKR ialah sebagai ahli jawatankuasa negeri PKR Pulau Pinang secara ex officio, berdasarkan kedudukannya sebagai Adun. Fahmi berkata selagi beliau kekal sebagai Adun Pantai Jerejak, kedudukannya sebagai ahli ex officio dalam kepimpinan PKR negeri secara teknikalnya masih wujud.