TheMalaysiaTime

Adun Bukit Tambun angkat sumpah exco P Pinang

2026-03-06 - 05:33

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Ramli Ngah Talib berjabat tangan dengan Goh Choon Aik selepas Adun Bukit Tambun itu selesai mengangkat sumpah sebagai exco di Seri Mutiara hari ini. GEORGE TOWN: Adun Bukit Tambun Goh Choon Aik hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang yang baharu dalam satu istiadat ringkas yang berlangsung di Seri Mutiara, di sini. Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Rahsia Ahli MMK negeri itu disempurnakan di hadapan Yang Dipertua Negeri Ramli Ngah Talib. Goh menggantikan Adun Pantai Jerejak Fahmi Zainol yang ditamatkan perkhidmatan sebagai Ahli MMK negeri pada 4 Mac lepas. Berikutan pelantikan berkenaan, Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengumumkan penstrukturan semula portfolio bagi tiga anggota MMK negeri bagi memastikan kelancaran gerak kerja pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang. “Goh yang menggantikan Fahmi diberikan tanggungjawab mengetuai portfolio Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat manakala Timbalan Ketua Menteri I Mohamad Abdul Hamid (Adun Batu Maung) mengetuai portfolio Pembangunan Agama Islam, Pendidikan dan Pengajian Tinggi dan Pembangunan Koperasi. “Rashidi Zinol (Adun Sungai Acheh) pula kini mengetuai portfolio Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan,” katanya kepada pemberita selepas istiadat berkenaan. Chow berharap rombakan kecil itu dapat menyelaraskan gerak kerja kerajaan negeri dengan prinsip tanggungjawab kolektif bagi memastikan seluruh pasukan bersatu padu dalam meneruskan agenda Penang 2030. Sementara itu, Goh, 52, bertekad untuk menggalas amanah baharu itu dengan penuh dedikasi kerana pembangunan ekonomi yang mampan dan keharmonian masyarakat merupakan asas kepada Pulau Pinang untuk terus menjadi sebuah negeri yang stabil, progresif dan sejahtera. “Dalam sektor perdagangan, keutamaan diberikan terhadap usaha memperkukuh ekosistem perniagaan tempatan serta menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), di samping terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MiTi) serta agensi seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade). “Dalam konteks kos sara hidup, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan inisiatif berkaitan pengawalan harga, bekalan barangan keperluan asas dan perlindungan pengguna dilaksanakan dengan berkesan demi menjaga kebajikan rakyat,” katanya. Beliau berkata dari segi perpaduan masyarakat pula, kerajaan Pulau Pinang akan meningkatkan kerjasama dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi memastikan suara rakyat di peringkat akar umbi dan keperluan komuniti disampaikan dengan berkesan kepada kerajaan negeri. Goh yang menjadi Adun Bukit Tambun sejak 2018 merupakan pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR. Pada 4 Mac lepas, Chow mengumumkan perkhidmatan Fahmi yang juga pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang ditamatkan berikutan menerima surat rasmi daripada Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh yang memohon penggantian Fahmi susulan pendakwaan mahkamah yang sedang dihadapinya. Pada 27 Feb lepas, naib pengerusi PKR Pulau Pinang itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes.

Share this post: