TheMalaysiaTime

99 Speedmart, MAIPs lancar ‘Foodbank Anjung Rezeki’

2026-03-07 - 05:44

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan sumbangan kepada penerima sempena program Foodbank Anjung Rezeki MAIPs di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Kuala Perlis. (Gambar MAIPs) PETALNG JAYA: 99 Speedmart dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melancarkan program ‘Foodbank Anjung Rezeki MAIPs’, iaitu inisiatif pertama seumpamanya dilaksanakan oleh syarikat rangkaian pasar mini itu di Malaysia. Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan program berkenaan di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Kuala Perlis. Hadir sama Tengku Puan Laksamana Kelantan, Sharifah Azwan Jamalullail; Engku Maharaja Lela Setia Paduka Syed Budriz Putra Jamalullail; serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor. Inisiatif foodbank itu telah dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu di tiga lokasi iaitu Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebagai projek perintis, diikuti Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail serta Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ). Program tersebut dijangka diperluaskan ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan UiTM Cawangan Perlis sebagai fasa kedua sebelum dikembangkan ke lokasi lain. Ketua Pegawai Operasi 99 Speedmart, Yong Eng Kwang berkata program itu bukan sekadar inisiatif kebajikan, sebaliknya pendekatan menyeluruh bagi membantu komuniti yang memerlukan. Menurutnya, ia juga bertujuan menyelamatkan lebihan makanan yang masih elok daripada dibazirkan selain mendidik masyarakat supaya lebih menghargai rezeki. “Melalui sokongan pelbagai pihak, manfaat program ini dapat diperluaskan sekali gus membantu lebih ramai rakyat secara lebih pantas dan efisien. “Tiga teras utama program foodbank ini ialah menyantuni komuniti, menyelamatkan makanan dan memelihara alam sekitar,” katanya. Yong turut berharap lebih banyak syarikat swasta tampil bekerjasama bagi menjayakan usaha tersebut. Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 150 asnaf terpilih berupa wang tunai agihan zakat MAIPs, bakul makanan serta lima kilogram beras menerusi program Foodbank Anjung Rezeki. Ketika ini sebanyak 14 cawangan 99 Speedmart beroperasi di Perlis, sebahagian daripada lebih 3,000 outlet rangkaian itu di seluruh negara.

Share this post: