9 suspek kes tembak komander AKPS dibebaskan
2026-03-09 - 05:53
Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah berkata, tujuh suspek yang dibebaskan dengan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah dan dua lagi diberi jaminan polis. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Sembilan daripada 11 suspek yang ditahan bagi bantu siasatan kes melepaskan tembakan ke arah kenderaan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) pada 25 Feb lalu dibebaskan. Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah berkata, tujuh suspek yang dibebaskan dengan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah dan dua lagi diberi jaminan polis. “Bagaimanapun, enam daripada mereka dituduh di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif dadah,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro. Menurutnya, hanya dua suspek yang ditahan reman untuk siasatan lanjut. Adzli berkata, pihak polis masih meneruskan siasatan dan meneliti semua keterangan bersabit kejadian tersebut. Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini menghubungi pegawai penyiasat Rosli Hanafi di talian 019-2022210 atau mana-mana balai polis berhampiran. Dalam kejadian pada 5.40 pagi itu, Proton X70 yang dipandu Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Mohd Nasaruddin M Nasir ditembak di susur masuk Masjid Muhajirin, kira-kira 1km dari sempadan Malaysia-Thailand. Suspek yang menaiki motosikal dipercayai melepaskan dua das tembakan menggunakan senjata separa automatik ke arah kenderaan beliau. Susulan kejadian itu, polis menahan sembilan individu, termasuk seorang wanita warga Thailand, berusia antara 22 hingga 52 tahun dalam beberapa serbuan di Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar, Perlis, pada hari selepas kejadian.