85% pelatih PLKN akui berlaku perubahan positif
2026-03-02 - 07:34
Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara Abdul Aziz Zainal dalam Majlis Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 1/2026 PLKN di Kem Latihan Khidmat Negara 505 Askar Wataniah, Pekan. (Gambar Bernama) PEKAN: Sebanyak 85% pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mengakui berlaku perubahan positif dalam diri mereka selepas menamatkan latihan, kata Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Abdul Aziz Zainal. Beliau berkata, berdasarkan maklum balas diterima, majoriti pelatih mengakui mereka kini lebih matang serta memahami bahawa kehidupan di Malaysia memerlukan kerjasama erat antara kaum. “Mereka berpeluang bergaul dengan rakan daripada pelbagai latar belakang, makan bersama, tidur bersama, berlatih dan menempuh cabaran secara berkumpulan. Pengalaman itu membentuk persefahaman dan rasa hormat yang lebih mendalam antara satu sama lain,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 1/2026 PLKN di Kem Latihan Khidmat Negara 505 Askar Wataniah (AW), di sini, hari ini. Pada majlis itu, 556 pelatih lelaki berjaya menamatkan latihan selama 45 hari bermula 17 Jan lalu, sekali gus diiktiraf sebagai Angkatan Khidmat Negara. Aziz berkata, perubahan itu dapat dilihat sepanjang tempoh latihan apabila pelatih yang sebelum ini kurang bersemangat kini menunjukkan sikap lebih berdisiplin, berkeyakinan dan peka terhadap persekitaran. “Impak positif berkenaan membuktikan modul latihan yang dilaksanakan mampu menyumbang kepada pembentukan sahsiah dan perpaduan dalam kalangan belia pelbagai kaum di negara ini,” katanya. Sementara itu, beliau berkata individu yang tersenarai untuk mengikuti program tersebut perlu memastikan mereka memberi maklum balas terhadap panggilan dan arahan. “Pada peringkat awal terdapat ibu bapa yang berasa ragu-ragu untuk menghantar anak mereka, namun selepas melihat perubahan sikap seperti lebih menghormati ibu bapa, lebih bertanggungjawab dan berdisiplin, mereka mengakui keberkesanan program ini,” katanya. Dari segi kesihatan, Aziz berkata pelatih diingatkan supaya mengisytiharkan status kesihatan sebenar sebelum menyertai latihan bagi mengelakkan sebarang komplikasi.