TheMalaysiaTime

700 kereta terpakai musnah dalam kebakaran di Tuaran

2026-03-15 - 14:34

Keadaan kereta yang musnah dalam kebakaran di sebuah stor penyimpanan kenderaan terpakai milik sebuah syarikat di Tuaran, Sabah tengah hari tadi. (Gambar JBPM) TUARAN: Sebanyak 700 kenderaan terpakai musnah dalam kebakaran sebuah stor penyimpanan kereta seluas 0.8 hektar di Jalan Dungun, Marabahai Tambalang 2, tengah hari tadi. Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba Sabah dalam kenyataan memaklumkan kebakaran di premis milik sebuah syarikat itu dipercayai berpunca daripada kebakaran hutan berhampiran yang merebak dengan pantas ke stor berkenaan. Menurut kenyataan itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada 1.10 tengah hari sebelum tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian. “Seramai 25 anggota dari Balai Bomba Tuaran, dibantu BBP Lintas dan BBP Kota Kinabalu serta enam anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian. “Pasukan bomba bertindak pantas menjalankan operasi pemadaman menggunakan beberapa aliran hos serta bekalan sumber air dari jentera tangki air dan berjaya mengawal api daripada terus merebak, sekali gus kira-kira 30 kenderaan berjaya diselamatkan di kawasan berhampiran,” menurut kenyataan itu. Tiada kemalangan jiwa atau mangsa dilaporkan dalam insiden berkenaan. Kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya pada 3.31 petang dan operasi ditamatkan pada 4.55 petang selepas kerja memadam sisa api selesai bagi memastikan tiada lagi punca yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Share this post: