TheMalaysiaTime

7 kes tipu tempahan kuih, makanan babit kerugian lebih RM300,000

2026-03-17 - 23:41

Ketua Polis Perak Noor Hisam Noordin menasihatkan pengusaha makanan dan bakeri lebih berwaspada dan mendapatkan deposit atau membuat pengesahan sebelum menerima tempahan dalam jumlah besar demi elak terpedaya. (Gambar Bernama) IPOH: Polis menerima tujuh laporan berkaitan penipuan tempahan kuih dan makanan membabitkan kerugian melebihi RM300,000 di Perak. Ketua Polis Perak, Noor Hisam Noordin, berkata modus operandi suspek pada awalnya membuat tempahan dalam kuantiti tertentu dengan pengusaha bakeri atau katering, sebelum memberikan tempoh untuk menyiapkan pesanan berkenaan. “Selepas itu, suspek akan membuat permintaan tambahan untuk item tertentu yang kebiasaannya tidak dihasilkan pengusaha berkenaan. “Suspek kemudian memberikan nombor telefon lain yang kononnya boleh membekalkan item berkenaan dan meminta pengusaha menghubungi nombor itu,” katanya selepas Majlis Pelancaran Ops Selamat XXVI sempena Aidilfitri 2026 Peringkat Kontinjen Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar Gopeng, semalam. Beliau berkata, apabila mangsa menghubungi nombor diberikan, individu terbabit akan bersetuju menyediakan item itu, namun meminta bayaran terlebih dahulu. “Beberapa pengusaha membuat bayaran kepada nombor itu, namun selepas bayaran dibuat, kedua-dua individu berkenaan tidak lagi dapat dihubungi dan ketika itu mangsa baru menyedari mereka telah ditipu.” Menurutnya, mangsa bukan sahaja menanggung kerugian kerana menyediakan tempahan makanan tidak diambil, malah turut kehilangan wang selepas membuat bayaran kepada individu yang diberikan suspek. Justeru, beliau menasihatkan pengusaha makanan dan bakeri lebih berhati-hati serta mendapatkan deposit atau membuat pengesahan terlebih dahulu, sebelum menerima tempahan dalam jumlah besar bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Share this post: