TheMalaysiaTime

7 kes premis mercun terbakar tahun ini, kata bomba

2026-03-23 - 06:30

Ketua Pengarah JBPM Nor Hisham Mohammad berkata masing-masing dua kes kebakaran premis jualan mercun dan bunga api di Johor serta Pulau Pinang, satu kes di Kedah, Kuala Lumpur dan Melaka. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Nor Hisham Mohammad, berkata tujuh kes kebakaran permis jualan mercun dan bunga api dilaporkan di seluruh negara sehingga bulan lalu. Beliau berkata, 19 kes dilaporkan pada 2024 dan jumlah itu melonjak kepada 113 kes tahun lalu, termasuk Johor (32 kes), Terengganu (29 kes) dan Perak (23 kes). “Tujuh kes direkodkan tahun ini, masing-masing dua kes di Johor dan Pulau Pinang, satu kes di Kedah, Kuala Lumpur dan Melaka,” katanya menurut Berita Harian. Beliau berkata, permit jualan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan JBPM memainkan peranan dalam aspek pencegahan kebakaran seerta keselamatan dengan memberi nasihat teknikal keselamatan kepada PBT atau peniaga, jika diperlukan. “Selain itu, kami menjalankan pemeriksaan keselamatan kebakaran di premis tertentu, terbabit dalam pemantauan bersepadu bersama agensi lain semasa musim perayaan, menyampaikan advokasi dan kempen kesedaran kepada peniaga serta orang awam.” Hisham menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati ketika bermain mercun dan bunga api, antaranya bermain di kawasan lapang dan selamat, bukannya berhampiran bahan mudah terbakar, menyediakan air atau alat pemadam api serta memastikan mercun padam sepenuhnya sebelum ditinggalkan. Beliau turut mengingatkan orang ramai tidak mengubah suai mercun atau cuba membuatnya sendiri dan mengelakkan bermain mercun ketika cuaca kering atau berangin kuat. Katanya, peniaga perlu menjual mercun dibenarkan dan mempunyai permit sah, simpan bekalan di tempat kering, jauh dari sumber haba atau api, menyediakan alat pemadam api dan tahu cara guna serta mengelakkan bekalan berlebihan disimpan di ruang sempit dan mematuhi garis panduan keselamatan. Kes terbaharu berlaku di Taman Pekaka, Nibong Tebal selepas sebuah gerai jualan mercun dan bunga api musnah terbakar awal pagi semalam. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, tetapi sebuah motosikal Yamaha Y15 mengalami kerosakan sekitar 90%.

Share this post: