7 kapal tangki Malaysia tunggu ‘lampu hijau’ lalui Selat Hormuz, kata Tok Mat
2026-03-28 - 05:20
Menteri Luar Mohamad Hasan berkata daripada tujuh kapal tangki yang sedang menunggu kebenaran dari Tehran, tiga dimiliki oleh Petronas, dua oleh MISC, satu oleh Sapura, dan satu oleh Sepadu. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Tujuh kapal tangki Malaysia sedang menunggu ‘lampu hijau’ daripada tentera Iran untuk melalui Selat Hormuz, yang kini berada di bawah sekatan Iran susulan perang di Timur Tengah, kata Menteri Luar Mohamad Hasan. Beliau berkata tiga daripada kapal tangki itu dimiliki oleh Petronas, dua oleh MISC, satu oleh Sapura, dan satu lagi oleh Sepadu. “Arahan dari Tehran kadangkala tidak sampai ke (Selat) Hormuz kerana komunikasi biasanya sukar semasa waktu perang,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Rembau, kawasan Parlimennya. “Iran meminta kita menunggu masa yang sesuai untuk kapal kita melalui. Kita mungkin menerima isyarat hari ini.” Iran hampir menutup selat penting itu sepenuhnya sejak serangan AS-Israel yang mencetuskan perang pada 28 Feb, menyebabkan harga tenaga global melonjak. Pada Khamis, Perdana Menteri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Iran kerana membenarkan sebuah kapal tangki minyak Malaysia dan anak kapalnya meneruskan perjalanan pulang. Malaysia akan hantar nota diplomatik kepada Filipina Dalam perkembangan berasingan, Mohamad, yang juga dikenali sebagai Tok Mat, mengesahkan bahawa Wisma Putra akan menghantar nota diplomatik kepada Filipina bagi menolak gesaan seorang senator Filipina, Robin Padilla, supaya Filipina menghidupkan semula tuntutan ke atas Sabah. Mohamad berkata beliau yakin kenyataan Padilla tidak akan menjejaskan hubungan dua hala antara Malaysia dan Filipina kerana ia dibuat oleh seorang senator sahaja. “Ini sudah menjadi permainan mereka (ahli politik Filipina) sejak berdekad lamanya, di mana mereka akan membangkitkan isu ini untuk mengalihkan perhatian rakyat mereka daripada isu domestik. Saya rasa rakyat Filipina sendiri memahami perkara ini,” tambahnya. Semalam, Pemuda PKR menggesa kerajaan memanggil duta Filipina ke Malaysia bagi memberi penjelasan berhubung kenyataan senator itu yang disifatkan sebagai ‘tidak bertanggungjawab dan provokatif’ mengenai Sabah. Dalam laporan media Filipina, GMA News Online, Padilla yang dipetik menggesa Manila menghantar wakil ke Malaysia untuk berunding mengenai tuntutan wilayah ke atas Sabah. “Tuan Presiden, sekarang adalah masa untuk menghidupkan semula tuntutan sah kita ke atas Sabah. Kita mesti bertindak sekarang dan menghantar wakil kita. Borneo Utara sudah kaya dengan sumber minyak,” katanya.