TheMalaysiaTime

60% ahli KWSP berpotensi capai simpanan asas RM390,000 menjelang 2030

2026-03-05 - 05:14

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata KWSP komited memastikan hakisan simpanan asas akibat pengeluaran awal dapat dikawal dengan memperkenalkan penanda aras kecukupan pendapatan persaraan. KUALA LUMPUR: Kira-kira 60% ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpotensi mencapai tahap simpanan asas RM390,000 pada umur 60 tahun menjelang 2030, kata Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan. Beliau berkata, 3.1 juta atau 41.2% ahli aktif KWSP warganegara Malaysia berumur 18 hingga 55 tahun dalam sektor formal mencapai tahap simpanan asas mengikut umur setakat akhir tahun lalu. “Ini menunjukkan 4.42 juta atau 58.8% ahli sektor formal warganegara Malaysia belum mencapai tahap simpanan minimum disasarkan bagi memastikan simpanan mencukupi apabila bersara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara. Beliau menjawab soalan tambahan Senator Ng Keng Heng mengenai anggaran rasmi kerajaan berhubung peratusan warganegara dijangka tidak mencapai tahap simpanan minimum mencukupi menjelang umur persaraan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang. Amir berkata, kerajaan melalui KWSP komited memastikan hakisan simpanan asas akibat pengeluaran awal dapat dikawal dengan memperkenalkan penanda aras RIA (kecukupan pendapatan persaraan). Menurutnya, RIA berfungsi sebagai panduan kecukupan simpanan persaraan bagi membantu ahli menilai kedudukan simpanan mereka sebelum membuat keputusan pengeluaran, sekali gus menggalakkan perancangan kewangan jangka panjang lebih berhemah. “Pada masa sama, pelbagai langkah memperkukuh simpanan terus dilaksanakan, termasuk penstrukturan akaun, pengenalan kepada akaun fleksibel, galakan caruman sukarela serta promosi lebih aktif melibatkan i-Simpan, i-Saraan, i-Topup. “KWSP turut mempergiatkan lagi kempen kesedaran bagi menggalakkan ahli tidak membuat pengeluaran penuh atau secara ‘lump sum’ yang boleh menjejaskan pendapatan selepas persaraan, sebaliknya memilih opsyen pengeluaran bayaran bulanan.” Untuk makluman, jumlah majikan aktif berdaftar dengan KWSP meningkat sebanyak 4.2% kepada 640,391 setakat Disember 2025 berbanding 614,563 pada 2024. Jumlah pekerja sektor formal yang mencarum juga meningkat 3.3% kepada 8.2 juta tahun lalu berbanding 7.9 juta pada 2024. Perkembangan positif ini menyumbang kepada pertumbuhan caruman tahunan ahli KWSP warganegara kepada RM120 bilion pada 2025, 12% lebih tinggi berbanding RM107.1 bilion pada 2024.

Share this post: