TheMalaysiaTime

6 remaja ditahan bawah Sosma, kata kumpulan hak asasi

2026-03-03 - 02:14

Pengarah Eksekutif Suaram Azura Nasron menggesa Kementerian Dalam Negeri memastikan tiada remaja akan ditangkap atau ditahan di bawah Sosma pada masa akan datang. PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mendakwa sekurang-kurangnya enam remaja kini sedang ditahan oleh polis di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma). Suaram berkata Adun Pengkalan Kundor Mardhiyyah Johari baru-baru ini membuat aduan kepada pejabat pesuruhjaya kanak-kanak, mendakwa seorang remaja lelaki berusia 17 tahun telah ditahan di bawah Sosma pada 15 Feb di rumahnya. Pengarah Eksekutif Suaram, Azura Nasron, berkata kemudiannya didapati seorang lagi remaja lelaki seusia ditahan di Langkawi dalam keadaan yang sama. “Maklumat awal yang diberikan kepada keluarga oleh pihak polis menunjukkan sekurang-kurangnya empat lagi remaja turut ditahan pada hari yang sama, menjadikan jumlah keseluruhan yang kini ditahan di bawah Sosma sekurang-kurangnya enam orang. “Sehingga hari ini, remaja lelaki terbabit telah ditahan di bawah Sosma selama 16 hari,” katanya dalam satu kenyataan. Azura menggesa polis segera membebaskan semua remaja yang kini ditahan di bawah peruntukan Sosma, serta memberi akses segera kepada keluarga dan peguam mereka. “Suaram menuntut komitmen tegas daripada Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan tiada remaja ditangkap atau ditahan di bawah Sosma, serta mengeluarkan arahan supaya Akta Kanak-Kanak 2001 dipatuhi sepenuhnya.” FMT telah menghubungi menteri dalam negeri untuk mendapatkan komen. Pada Januari, FMT melaporkan seorang remaja perempuan ditahan di satu sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Jitra selepas polis menahan kenderaan yang dinaikinya, dengan dakwaan ia digunakan untuk menyeludup migran. Remaja perempuan itu, bersama bapanya dan individu lain dalam kereta tersebut telah ditahan. Dia dibebaskan selepas lebih seminggu ditahan. Kes itu mencetuskan kemarahan pelbagai pihak, dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia menggesa Putrajaya segera memansuhkan mana-mana peruntukan Sosma yang membenarkan penahanan remaja tanpa perbicaraan. Pesuruhjaya kanak-kanak, Farah Nini Dusuki, berkata penahanan remaja perempuan itu melanggar Akta Kanak-Kanak 2001, yang mana Seksyen 84 menetapkan bahawa seseorang kanak-kanak mesti dibawa ke Mahkamah Kanak-Kanak dalam tempoh 24 jam selepas ditangkap – satu syarat yang menurutnya tidak dipatuhi. Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh turut mengkritik pihak berkuasa berhubung penahanan remaja perempuan itu, dengan menyatakan ia contoh jelas penyalahgunaan Sosma, serta mengulangi gesaan supaya akta kontroversi tersebut dimansuhkan atau dipinda.

Share this post: