6 bulan tiada gaji, Hari Raya 80 pekerja asing bakal suram
2026-03-15 - 09:34
Pekerja itu merayu pihak berkuasa campur tangan bagi minta majikan jelaskan tunggakan gaji dan beri surat pelepasan supaya mereka dapat mencari kerja di syarikat lain. JOHOR BAHRU: Hari Raya kali ini bakal disambut suram oleh kira-kira 80 pekerja sebuah syarikat pembinaan di Pasir Gudang selepas majikan mereka tidak membayar gaji dan bayaran kerja lebih masa sejak enam bulan yang lalu. Sekumpulan pekerja Esstar Vision Sdn Bhd (EVSB), yang enggan nama mereka didedahkan berkata mereka bergelut setiap hari untuk kelangsungan hidup, manakala majikan pula tidak banyak membantu mereka. “Kami berdepan krisis buruh dan kemanusiaan yang serius yang memerlukan campur tangan kerajaan untuk diselesaikan. Majikan kami gagal membayar gaji dan bayaran kerja lebih masa kami selama enam bulan berturut-turut. “Selepas menunggu selama empat bulan, pada Januari lalu kami buat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK), tetapi isu ini masih belum selesai. Mereka (JTK) hanya akan bertemu majikan pada 17 April,” kata seorang jurucakap kumpulan itu kepada FMT. Katanya, kerana tiada sumber kewangan mereka kini mengalami kekurangan bekalan makanan yang serius, malah terpaksa berkongsi makanan serta mengharapkan belas ihsan serta bantuan orang lain untuk meneruskan kehidupan. Jurucakap itu juga mendakwa, pihak majikan turut mengugut mereka selepas aduan dibuat dan memaklumkan lapan daripada mereka tidak akan diperbahrui kontrak. “Disebabkan kecuaian majikan, enam daripada kami tidak dapat memperbaharui permit kerja. Seorang lagi bekerja selama lapan bulan tanpa visa kerja. “Kami bimbang sekiranya perkara ini berteruskan kami akan dianggap sebagai pekerja tanpa izin,” katanya. Mereka juga merayu pihak berkuasa campur tangan bagi menyelesaikan masalah itu termasuk meminta majikan menjelaskan semua tunggakan gaji dan memberikan surat pelepasan supaya mereka dapat mencari kerja di syarikat lain. “Kami bukan sahaja mempunyai keluarga di kampung halaman untuk disara, malah perlu melunaskan hutang yang diambil untuk datang bekerja ke Malaysia,” katanya. Ketika dihubungi, jurucakap EVSB Law Yik Hui berkata syarikat itu sedar masalah yang dihadapi pekerja asingnya dan kini sedang menangani perkara tersebut melalui JTK. “Syarikat sedang memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.” Beliau berkata syarikat itu bukannya enggan membayar gaji dan sedang berusaha untuk menyelesaikan perkara tersebut mengikut undang-undang. “Sepanjang tempoh ini, EVSB telah menyalurkan bekalan makanan dan menyediakan bantuan kewangan kepada pekerja bagi membolehkan mereka membeli makanan sendiri,” kata Law kepada FMT. Beliau berkata syarikat itu juga berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh dan mencadangkan kerangka penyelesaian, yang mana beberapa pekerja telah pun mencapai penyelesaian secara baik dan menarik balik aduan mereka. “EVSB tetap komited untuk menyelesaikan perkara ini secara bertanggungjawab sambil memastikan kebajikan pekerjanya terpelihara,” katanya. FMT menghubungi JTK Johor untuk mendapatkan maklum balas.