57 mangsa tanah runtuh di Indonesia dikenal pasti, SAR diteruskan
2026-02-02 - 06:26
Pasukan penyelamat membawa beg mayat berisi mangsa tanah runtuh di Cisarua, Bandung Barat, Jawa Barat, Indonesia pada 26 Jan lalu. (Gambar EPA Images) JAKARTA: Sejumlah 57 mayat mangsa tanah runtuh di Bandung Barat, Jawa Barat dikenal pasti dan diserahkan kepada waris. Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana, Abdul Muhari berkata, sehingga 4 petang Ahad, 74 beg mayat dihantar untuk proses pengecaman, dengan 17 masih dalam proses identifikasi. “Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan hari ini, Isnin bermula 8 pagi. Pasukan SAR meningkatkan penggunaan jentera berat bagi meluaskan kawasan pencarian enam lagi mangsa dilaporkan hilang. “Sekurang-kurangnya 18 jentera berat dikerahkan dalam operasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin sambil menambah operasi SAR membabitkan 3,229 petugas. Berdasarkan data awal dan kemas kini terbaharu, 517 mangsa yang dipindahkan telah pulang ke rumah, manakala 159 masih berada di pusat pemindahan. Tanah runtuh melanda Kampung Pasirlangu kira-kira 2.30 pagi 24 Jan lalu susulan hujan lebat berterusan yang menimbus beberapa kawasan kediaman.