TheMalaysiaTime

50% bekalan minyak Malaysia lalui Selat Hormuz, kata Anwar

2026-03-22 - 06:00

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata walaupun Malaysia pengeluar minyak, kita mengimport lebih banyak minyak daripada dieksport. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Anwar Ibrahim menjelaskan Malaysia sebagai pengeluar minyak turut terkesan kenaikan harga minyak global akibat konflik di Asia Barat kerana hampir 50% bekalan minyak negara melalui Selat Hormuz. Perdana menteri berkata, Selat Hormuz yang merupakan laluan utama minyak dunia terjejas akibat konflik itu, menyebabkan bekalan minyak dunia menjadi terhad dan harga melonjak. “Walaupun Malaysia pengeluar minyak, kita sebenarnya mengimport lebih banyak minyak daripada dieksport,” katanya dalam hantaran di Facebook. Beliau berkata, dalam keadaan dunia semakin tidak menentu, usaha melindungi kebajikan dan kesejahteraan rakyat tetap menjadi keutamaan kerajaan. “Rakyat serta majoriti peniaga tidak perlu membayar harga sebenar pasaran kerana subsidi ini disalurkan melalui Budi Madani RON95 (BUDI95) dan Budi Diesel,” Beliau yang juga menteri kewangan berkata, subsidi minyak yang ditanggung kerajaan meningkat daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu susulan kenaikan harga minyak dunia. Pada 28 Feb lalu, AS dan Israel mula menyerang sasaran di Iran, termasuk Tehran yang menyebabkan kerosakan dan kematian orang awam. Iran pula melancarkan serangan balas terhadap wilayah Israel serta aset AS di Asia Barat, selain menutup Selat Hormuz.

Share this post: