5 lelaki asing terbabit kes bunuh ditahan di Singapura
2026-03-20 - 06:40
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata seorang daripada lelaki itu ditahan pada 12.15 tengah malam kelmarin, ketika cuba melepasi pemeriksaan imigresen ke Singapura. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Lima warga asing yang dipercayai cuba melarikan diri ke Singapura selepas diburu polis berhubung satu kes bunuh seorang lelaki di Southkey, Johor Bahru, minggu lalu, ditahan di sempadan negara. Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, berkata seorang daripada lelaki itu ditahan pada 12.15 tengah malam kelmarin, ketika cuba melepasi pemeriksaan imigresen ke Singapura. Beliau berkata, empat lagi lelaki kemudian ditahan dengan bantuan polis Singapura pada 6 petang semalam selepas dipercayai melarikan diri ke republik itu. Menurutnya, suspek pertama direman tujuh hari bermula kelmarin hingga Selasa depan dan empat lagi direman tujuh hari mulai hari ini hingga Khamis depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. “Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek negatif dadah dan semakan rekod juga menunjukkan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya menurut Harian Metro. Terdahulu, Ab Rahaman berkata, mangsa yang juga warga asing 32 tahun maut selepas diserang beberapa individu menggunakan senjata tajam pada 5 pagi 14 Mac lalu. Jelasnya, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail akibat tikaman di bahagian leher.