5 ditahan, RM86.78 juta dadah disita di Melaka
2026-03-11 - 06:45
Polis menahan empat lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 23 hingga 55 tahun dalam serbuan pada 6 dan 8 Mac lalu. PETALING JAYA: Dadah bernilai RM86.78 juta dirampas dalam serbuan ke atas tiga kediaman yang dijadikan makmal haram dan stor di Melaka Tengah, minggu lalu. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata empat lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 23 hingga 55 tahun ditahan dalam serbuan pada 6 dan 8 Mac lalu. Menurutnya, dua lelaki dan seorang wanita ditahan bersama beg berisi 12 bungkusan pil Erimin 5 seberat 1.73kg dalam serbuan pertama di sebuah rumah teres di Taman Puncak Bertam. Ia disusuli serbuan kedua di Taman Kenanga pada 8 Mac lalu, di mana dua suspek ditahan, manakala 10.88kg cecair dan 2.75kg serbuk MDMA (3,4 methylenedioxymethamphetamine) bersama sejumlah kecil pil Erimin 5, ekstasi serta ketamin dirampas. Beliau berkata, 274.08kg cecair dan 303.85kg serbuk MDMA, 1kg ketamin, 170g pil ekstasi dan 150g pil Erimin 5 ditemui dalam serbuan ketiga di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Satu Krubong yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah. “Keseluruhannya, polis merampas cecair MDMA seberat 284.96kg, serbuk MDMA (306.60kg), pil Eramin 5 (1.88kg), ketamin (1.01kg) dan pil ekstasi (170g) yang dipercayai boleh digunakan kira-kira 1.1 juta penagih,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di IPK Melaka. Hussein berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak Januari lalu dengan menyasarkan pengunjung pusat hiburan, khususnya di Melaka. “Mereka juga dipercayai membeli air minuman botol berjenama di pasaran sebelum disuntik pelbagai jenis dadah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa dan dijual antara RM300 hingga RM500 sebotol.” Jelasnya, suspek pertama dan kedua menjadi koordinator, suspek ketiga sebagai penjaga stor, manakala suspek keempat serta kelima berperanan sebagai ‘runner’. Katanya, suspek pertama hingga ketiga direman tujuh hari sehingga esok, manakala suspek keempat dan kelima direman lima hari hingga Jumaat ini. Beliau berkata, suspek pertama dan keempat mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes dadah, manakala suspek kelima disahkan positif methamphetamine. Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan harta bernilai RM38,000 termasuk sebuah Proton Iriz dan motosikal Yamaha Y15 disita.