TheMalaysiaTime

5 cedera serangan roket di lapangan terbang Baghdad

2026-03-16 - 00:04

Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad merangkumi kompleks tentera dilengkapi pelbagai pangkalan untuk pasukan Iraq, kemudahan diplomatik dan logistik AS serta sebuah penjara pusat. (Gambar AFP) BAGHDAD: Lima cedera dalam serangan roket di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad yang menempatkan kemudahan diplomatik Amerika Syarikat (AS) pada Ahad, kata pihak berkuasa Iraq. Media keselamatan kerajaan Iraq melaporkan lima roket menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad dan kawasan sekitarnya, mencederakan empat petugas lapangan terbang dan seorang anggota keselamatan. Menurutnya, roket terkena lapangan terbang dan loji penyahgaraman air, manakala yang lain jatuh berhampiran penjara menempatkan suspek kumpulan IS dan sebuah pangkalan udara Iraq bersebelahan kemudahan diplomatik AS. Pasukan keselamatan merampas pelancar roket yang digunakan untuk menyerang kawasan al-Radwaniya di barat daya Baghdad, menurut pihak berkuasa. Sumber keselamatan memberitahu AFP, tiga dron turut ditembak jatuh berhampiran lapangan terbang itu. Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad merangkumi kompleks tentera luas yang dibahagikan kepada beberapa pangkalan tentera dan pasukan keselamatan Iraq, selain kemudahan diplomatik serta logistik AS dan sebuah penjara pusat. Sejak bermulanya perang Timur Tengah, Iraq yang telah lama menjadi medan pertembungan proksi AS dan Iran, menutup ruang udaranya serta menggantung trafik udara di seluruh negara. Kumpulan bersenjata disokong Tehran mendakwa melancarkan serangan dron dan roket hampir setiap hari ke pangkalan AS di Iraq, termasuk lapangan terbang Baghdad. Kementerian Kehakiman Iraq pada Ahad memberi amaran serangan berhampiran lapangan terbang mengancam keselamatan Penjara Pusat al-Karkh yang menempatkan ribuan suspek IS dipindahkan dari Syria baru-baru ini. Kedutaan AS turut menjadi sasaran, dengan sebuah dron terkena kompleks itu pada Sabtu. Pada hari sama, tiga pejuang disokong Iran terbunuh dalam serangan dikaitkan dengan AS di bandar sama.

Share this post: