40 rumah musnah di Tawau, PPS dibuka
2026-02-02 - 15:06
Pemandangan udara kejadian kebakaran yang mengakibatkan 40 kediaman di Kampung Titingan, Tawau, musnah. PETALING JAYA: Satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau pada 5 petang tadi bagi menempatkan mangsa kebakaran melibatkan 40 rumah di Kampung Titingan, pagi tadi. Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said, berkata susulan kejadian itu, Tawau diisytiharkan sebagai kawasan bencana kebakaran. “Pengisytiharan ini dibuat berdasarkan laporan serta maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi berkaitan dalam JPBD,” katanya menurut Bernama. Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan setakat ini seramai 310 mangsa membabitkan 70 ketua rumah direkodkan terjejas akibat kebakaran berkenaan. Menurut kenyataan itu, mangsa terdiri daripada 104 lelaki, 102 wanita, 50 kanak-kanak lelaki, dan 54 kanak-kanak perempuan, dengan jumlah mangsa ini dijangka meningkat. Terdahulu, Balai Bomba Tawau melaporkan kira-kira 40 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Titingan, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.