TheMalaysiaTime

4 rakan didakwa cederakan lelaki dengan parang

2026-03-05 - 04:54

Tertuduh, G Kisheaan, 29, S Yogayoggan, 26, S Heganeswaran, 28, dan K Sarvindran 23, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah menggunakan parang sehingga menyebabkan mangsa kehilangan tangan kanan. (Gambar fail) PETALING JAYA: Empat rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah menggunakan parang sehingga menyebabkan mangsa kehilangan tangan kanan, bulan lalu. Semua tertuduh, G Kisheaan, 29, S Yogayoggan, 26, S Heganeswaran, 28, dan K Sarvindran 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon, menurut Berita Harian. Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama didakwa dengan tujuan melakukan pakat jahat jenayah telah bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan perbuatan menyalahi undang-undang iaitu mendatangkan cedera parah menggunakan senjata parang terhadap S Prashanraj, 33. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Gurney Paragon, kira-kira 8 pagi, 25 Februari lalu. Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah didenda atau sebat, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong mengendalikan pendakwaan manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Lim Xian Zhi. Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan terutama mangsa dan melapor diri di balai polis setiap bulan sehingga kes selesai. Tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 15 April depan.

Share this post: