TheMalaysiaTime

4 pemimpin Melayu DAP tak setuju Kulasegaran temui Arun di mahkamah

2026-03-18 - 04:50

M Kulasegaran (kanan) dilihat bersama Arun Dorasamy (tengah) di Kompleks Mahkamah Jawi di Pulau Pinang, semalam. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Empat pemimpin Melayu DAP tidak bersetuju dengan tindakan Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi M Kulasegaran yang bertemu dengan aktivis Arun Dorasamy di Kompleks Mahkamah Jawi di Pulau Pinang, semalam. Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP Sheikh Umar Bagharib Ali, Young Syefura Othman dan Syahredzan Johan selain Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid. Mereka berkata walaupun menghormati Kulasegaran sebagai veteran DAP, kehadiran beliau di mahkamah dalam kapasiti sebagai timbalan menteri telah mencetuskan polemik awam, khususnya berkaitan integriti sistem perundangan negara. “Walaupun penjelasan telah diberikan, kedudukan beliau dalam kerajaan menuntut tahap kepekaan yang lebih tinggi terhadap persepsi awam. “Khususnya berkaitan prinsip keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi juga perlu dilihat dilaksanakan,” kata mereka. Semalam, Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat menjelaskan beliau hanya singah sekejap untuk bertemu Arun di Kompleks Mahkamah Jawi bukan dalam bilik mahkamah. “Saya singgah di mahkamah untuk bercakap dengan Arun tentang kepercayaan terhadap proses undang-undang sementara beliau bersedia untuk berdepan dengan prosiding akan datang,” katanya. Arun didakwa di Mahkamah Majistret Jawi atas tuduhan membuat kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam. Arun atau nama sebenar Arumugam Dorasamy, 56, didakwa membuat kenyataan menyalahi undang-undang dalam satu video yang dimuat naik di akaun Instagramnya, @arun_dorasamy, kira-kira 3.45 petang 12 Mac tahun lalu di Ikea Batu Kawan, Pulau Pinang. Empat pemimpin DAP itu juga menegaskan parti itu tidak pernah membuat sebarang keputusan rasmi untuk menyatakan sokongan atau kecenderungan terhadap kes melibatkan Arun. “Sebarang tindakan solidariti terhadap individu tersebut tidak mewakili pendirian parti,” kata mereka lagi. Mereka turut menekankan DAP perlu mengambil pendekatan seimbang dengan mempertahankan prinsip keadilan, termasuk konsep ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’, sambil menghormati proses undang-undang. “Pada masa sama mengelakkan sebarang tindakan boleh menimbulkan persepsi campur tangan atau keberpihakan,” katanya.

Share this post: