TheMalaysiaTime

4 mengaku tak salah jadi ahli ‘Geng Captain Praba’

2026-03-06 - 07:13

Tiga tertuduh C Navindren, S Sridharan dan S Pratifkumar di Mahkamah Sesyen Sepang pada 28 Jan lalu. Hakim kemudian membenarkan kes itu dipindah ke Mahkamah Tinggi Shah Alam. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Empat lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Captain Praba’. C Navindren, 38; S Sridharan, 30; S Pratifkumar, 30, dan K Devaindran, 44, mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Tamil di depan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet. Empat lelaki itu didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Captain Praba’ di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Mahang 2, Kampung Sungai Jarom, Jenjarom, Kuala Langat pada Disember 2023 hingga 11 Sept 2025. Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, memohon empat tertuduh itu dibicarakan bersama 13 tertuduh lain yang didakwa menjadi ahli ‘Geng Captain Praba’. “Ia memandangkan kes ini membabitkan pertuduhan sama di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan kesalahan asasnya ialah menjadi ahli satu kumpulan jenayah terancang,” katanya menurut Harian Metro. Media sebelum ini melaporkan polis menumpaskan kumpulan jenayah terancang yang aktif melakukan kekerasan, pembunuhan dan samun dengan menahan 17 suspek dalam Op Jack Sparrow di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang serta Perak pada 11 Sept lalu. Kumpulan didalangi seorang lelaki tempatan itu turut dikesan merekrut remaja demi mengejar pengaruh kuasa dan keuntungan dengan 80 kes jenayah dilakukan mereka setakat ini.

Share this post: