TheMalaysiaTime

4 lelaki curi kabel MRT Laluan Putrajaya ditahan

2026-03-15 - 04:03

Kecurian kabel menyebabkan gangguan operasi MRT Laluan Putrajaya selama tiga hari sekali gus menimbulkan kesulitan kepada ribuan pengguna pengangkutan awam. (Gambar Prasarana) PETALING JAYA: Polis menahan empat lelaki disyaki terlibat kes kecurian kabel yang menjejaskan operasi MRT Laluan Putrajaya. Tangkapan dibuat hasil risikan dan intipan bersama antara Unit Polis Bantuan Prasarana Malaysia Berhad dan pasukan IPK Selangor. Dalam kenyataan, Prasarana berkata semua suspek berusia antara 30 hingga 45 tahun dibawa ke lokasi kejadian bagi tujuan pengecaman serta membantu siasatan berkaitan barang kes yang ditemui. Penahanan dibuat susulan laporan polis oleh Prasarana berhubung kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen MRT Sri Damansara Barat pada 3 Mac lalu. Insiden itu menyebabkan gangguan kepada operasi MRT Laluan Putrajaya selama tiga hari sekali gus menimbulkan kesulitan kepada ribuan pengguna pengangkutan awam. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan, berkata kerjasama antara Unit Polis Bantuan Prasarana dan polis akan terus diperkukuh bagi membanteras kegiatan kecurian kabel. Katanya, usaha itu akan dilaksanakan menerusi pemantauan, intipan serta perkongsian maklumat secara berterusan dengan pihak berkuasa. “Langkah keselamatan di sepanjang jajaran MRT Laluan Putrajaya akan terus dipertingkat termasuk menambah rondaan keselamatan serta pemantauan. “Orang ramai juga diseru menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan yang boleh menjejaskan keselamatan kemudahan pengangkutan awam negara,” katanya.

Share this post: