4 anak Daim beri keterangan kepada SPRM 6 April
2026-03-24 - 09:21
Sebelum ini, SPRM mengeluarkan notis bagi mengesan (dari kiri) Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin. (Gambar SPRM) PETALING JAYA: Empat anak bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dijangka hadir memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 April ini. Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, peguam mewakili mereka telah memberi jaminan semua individu terbabit akan hadir. “SPRM mengambil maklum jaminan itu dan mengharapkan komitmen ini dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak terlibat. “Sekiranya mana-mana individu gagal hadir seperti dijanjikan, tindakan lanjut akan dipertimbangkan selaras peruntukan undang-undang,” katanya, menurut Berita Harian. Empat individu berkenaan ialah Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin. Sebelum ini, SPRM dilaporkan mengeluarkan notis bagi mengesan keempat-empat mereka selepas gagal memberi maklum balas terhadap dua notis rasmi berkaitan pengisytiharan aset. Menurut SPRM, usaha menghubungi mereka juga tidak berjaya setakat 26 Februari lalu, dengan peguam memaklumkan anak guam berada di luar negara dan sukar dihubungi. Pada masa sama, SPRM sebelum ini meminta bantuan orang ramai bagi mengesan keempat-empat individu tersebut untuk membantu siasatan. Kes itu merupakan sebahagian siasatan lebih luas melibatkan keluarga Daim, termasuk tindakan membekukan beberapa akaun bank serta syarikat yang dikaitkan dengan mereka.