39 ditahan, RM6 juta e-sisa dirampas
2026-03-06 - 03:33
Kira-kira 120,000kg tembaga, 560,000kg aluminium diproses dan 811,300kg aluminium belum diproses dirampas dalam serbuan semalam. (Gambar PPM Pelabuhan Klang) PETALING JAYA: Seramai 39 individu ditahan dan sisa elektronik (e-sisa) berjumlah RM6 juta yang diproses secara haram dirampas dari sebuah premis di Taman Perindustrian Kapar Bestari, Klang, semalam. Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Jaffri Bidin, berkata seorang lelaki tempatan 26 tahun yang dipercayai penjaga premis itu turut ditahan dalam serbuan PPM Pelabuhan Klang, IPD Klang Utara dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor pada 11.30 pagi. Menurutnya, 38 pekerja asing yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit kerja sah turut ditahan. “Penjaga premis berkenaan juga gagal mengemukakan dokumen berkaitan bahan disimpan serta diproses di premis tersebut,” katanya menurut Sinar Harian. Beliau berkata, kira-kira 120,000kg tembaga, 560,000kg aluminium diproses, 811,300kg aluminium belum diproses, enam forklift, pelbagai mesin dan peralatan pengisar yang semuanya dianggarkan bernilai RM6 juta dirampas. Jelasnya, kes dirujuk kepada JAS untuk tindakan lanjut kerana disyaki membabitkan aktiviti pemprosesan e-sisa secara haram yang boleh memberi kesan kepada alam sekitar serta melanggar undang-undang berkaitan. Beliau menyeru orang ramai terus memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu membanteras aktiviti jenayah serta pencemaran alam sekitar.