3 warga Thailand ditahan cuba seludup petrol dari Kelantan
2026-03-27 - 03:40
Semua suspek itu ditahan di ICQS Rantau Panjang ketika cuba keluar ke Thailand dengan memandu tiga kereta Proton Waja. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan tiga warga Thailand termasuk seorang wanita kerana dipercayai cuba menyeludup petrol bersubsidi ke negara itu, Rabu lalu. KPDN Kelantan dalam kenyataan berkata semua suspek ditahan dalam Ops Tiris yang dijalankan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di Pasir Mas. Katanya, dalam kes pertama, seorang lelaki berusia 53 tahun ditahan bersama sebuah kereta Proton Waja dengan 50 liter petrol dengan nilai rampasan keseluruhan RM5,193.50. “Sementara itu, seorang lelaki berusia 56 tahun turut ditahan dengan rampasan 60 liter petrol serta kenderaan bernilai keseluruhan RM5,232.20. “Manakala, kes ketiga membabitkan seorang wanita berusia 35 tahun dengan rampasan 50 liter petrol dan kenderaan, menjadikan jumlah nilai keseluruhan rampasan RM5,193.50,” kata kenyataan itu. Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga kenderaan diisi penuh petrol pada tangki asal tetapi suspek gagal mengemukakan sebarang resit pembelian, lokasi pengambilan serta alasan munasabah bagi pengisian bahan api tersebut. “Malah, siasatan awal mendapati semua suspek mengaku petrol tersebut untuk dijual di Thailand,” katanya. Menurutnya, semua kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 8(4)(a) akta sama kerana disyaki memiliki barang kawalan dengan niat untuk menyeleweng.