3 rumah terbakar di pagi raya
2026-03-21 - 08:11
Tiga rumah musnah dalam kebakaran pada pagi raya di Kota Bharu pagi tadi. (Gambar JBPM) KOTA BHARU: Sambutan Aidilfitri bagi suri rumah, Rozmawani Abdullah, suram selepas rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Bunut Payong, pagi tadi. Kebakaran itu turut memusnahkan dua rumah berdekatan. Rozmawani, 42, berkata dia bergegas membawa dua anaknya, Muhammad Ammar Darwisy Mohd Fadzli, 11, yang juga orang kurang upaya fizikal, dan Afiyah Hanan, 8, ke rumah jiran untuk menyelamatkan diri sebaik sahaja menyedari kebakaran. Suaminya, Mohd Fadzli Ab Rashid, 45, dan anak sulung, Muhammad Zafran Zarif, 14, tidak berada di rumah kerana solat Aidilfitri. “Saya tidak sempat mengambil dokumen milik suami dan hanya mampu menyelamatkan beg pakaian raya yang berada di ruang tamu. “Rasa sedih dengan dugaan kami sekeluarga. Ketika orang lain bergembira menyambut 1 Syawal kami sebaliknya apabila rumah terbakar,” katanya. Rozmawani bersyukur kerana kebakaran dari rumah seorang pesara yang telah ke masjid disedari anak jiran, Muhammad Fitri Mat Nawi, 28, yang membantunya dalam situasi itu. Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim, Mohd Amin Mohd Kari, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.27 pagi dengan kebakaran melibatkan tiga rumah teres dua tingkat. “Dua rumah terbakar 100% manakala sebuah lagi 80% namun tiada mangsa yang cedera,” katanya. Amin berkata operasi pemadaman melibatkan 22 anggota berjaya mengawal api pada 9.44 pagi. Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.