3 maut nahas 2 kenderaan di Lebuhraya Pan Borneo
2026-03-20 - 06:00
Proton X70 terbalik selepas terbabit nahas di Lebuhraya Pan Borneo laluan Serian-Sri Aman dekat Kampung Selepong Jinggau hari ini. (Gambar JBPM) PETALING JAYA: Tiga maut, manakala lima cedera dalam kemalangan dua kenderaan di Lebuhraya Pan Borneo laluan Serian-Sri Aman berhampiran Kampung Selepong Jinggau di Sri Aman pagi tadi. Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, tiga mangsa menaiki Proton X70 terdiri daripada seorang lelaki dikenali pasti Lau Sie Tung, 70, dan dua wanita, Grace Lau Chi Ai, 22, serta Lau Yok Leh, 22, terkorban. Menurutnya, dua kanak-kanak lelaki dalam kenderaan sama yang cedera di kepala diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital. Jelasnya, tiga mangsa menaiki Perodua Alza yang musnah terbakar sepenuhnya terdiri daripada seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan ringan. “Semua mangsa cedera dihantar ke Hospital Sri Aman menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya 10 pagi selepas kerja pemadaman dan pembersihan selesai,” katanya menurut Berita Harian. Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman yang tiba di tempat kejadian pada 8.52 pagi tadi mendapati Perodua Alza sedang terbakar.